HEADLINES

Konflik Iran-Israel: Mahfuz gesa adakan sidang khas Parlimen segera

Naib Presiden Parti Amanah berkata konflik itu menimbulkan kegusaran serius terhadap kestabilan serantau dan global termasuk di Asia Tenggara

1:41 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sidang khas tergempar Parlimen perlu diadakan segera bagi membincangkan konflik yang semakin meruncing membabitkan gabungan tindakan ketenteraan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, konflik itu menimbulkan kegusaran serius terhadap kestabilan serantau dan global termasuk di Asia Tenggara, selain mengorbankan nyawa dan memusnahkan infrastruktur awam di Iran.

“Justeru, saya mendesak Parlimen mengadakan sidang khas bagi membincangkan pendirian rasmi Malaysia dalam konflik ini, tindakan diplomatik sewajarnya, kesan geopolitik dan ekonomi kepada negara, serta tindakan kemanusiaan yang boleh diambil oleh Malaysia untuk membantu rakyat Iran yang menjadi mangsa konflik.

Sebagai institusi demokrasi tertinggi negara, Parlimen tidak boleh berdiam diri dalam isu melibatkan keadilan sejagat, kedaulatan negara lain dan kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Adun Pokok Sena itu turut mengingatkan bahawa suara rakyat Malaysia perlu dizahirkan melalui saluran sah dan terhormat iaitu Dewan Rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia perlu konsisten dalam menolak segala bentuk penjajahan, pencerobohan dan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa.

Malaysia, dalam masa sama perlu terus memainkan peranan aktif dalam menggerakkan keamanan global menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan ASEAN.

“Saya menyeru agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera mempertimbangkan keperluan sidang khas Parlimen itu demi kedaulatan nilai keadilan dan kemanusiaan sejagat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Amerika Syarikat mengumumkan turut terbabit dalam Perang Iran-Israel awal hari ini, bermula dengan kejayaan serangan ke atas tiga tapak nuklear Iran, termasuk kemudahan pengayaan uranium bawah tanah di Fordow.

Memasuki minggu kedua, Israel memulakan konflik melalui serangan udara ‘lebih awal’ di beberapa tapak strategik di Iran, termasuk kemudahan nuklear, pangkalan peluru berpandu dan markas tentera, diikuti dengan tindak balas oleh negara Teluk.

Sementara itu, Wisma Putra mengesahkan semua rakyat Malaysia di Iran telah selamat dipindahkan. Mereka yang dipindahkan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini melalui penerbangan Malaysia Airlines MH781.

Kementerian Luar juga mengumumkan semalam bahawa kedutaan Malaysia di Tehran telah ditutup buat sementara waktu, dengan semua kakitangan diplomatik dipanggil pulang serta-merta. – 22 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Singaporean mum in uphill battle in Johor shariah court after ex-husband abducts son

Daylin Limonte Alvarez faces complex legal hurdles in getting Malaysian Islamic court to enforce child custody order granted by republic

Related