KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama dengan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) disebabkan pertubuhan itu sudah tidak lagi sah untuk menjalankan operasi.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana pihaknya tidak mahu kredibiliti persatuan itu dipersoalkan kerana bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang sudah dibatalkan.
“Kita pun tidak mahu menyusahkan diri, tak mahu orang awam persoal kredibiliti, kenapa kita bekerjasama dengan NGO yang sudah dibatalkan.
“Kita tak mahu orang kata kita bekerjasama dengan NGO haram, lagipun banyak lagi NGO yang ada dalam negara ini yang boleh kita kerjasama,” katanya kepada Scoop.
Terdahulu, Scoop melaporkan Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad mengesahkan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) telah dibatalkan pendaftarannya pada 24 November 2022 di bawah Akta Pertubuhan 1966 kerana gagal mengemukakan penyata kewangan tahunan.
Presiden Ikhlas, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, kekangan Covid-19 yang dialami negara sebelum 2022 menyebabkan sukar bagi Ikhlas untuk mengadakan mesyuarat dan mengemukakan penyata kewangan tahunan kepada RoS.
Dalam pada itu, Nadzim memberitahu, PPIM juga tidak mengetahui Ikhlas sudah dibatalkan pendaftaran oleh RoS ketika terlibat dalam program menghantar memorandum ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.
Kerjasama terbabit, katanya, adalah kali pertama dijalankan PPIM bersama NGO berkenaan dan ia tidak melibatkan sebarang penggunaan duit mahupun kutipan sumbangan daripada mana-mana pihak.
“Mereka jemput kita, kadang-kadang bila dijemput, kita hadir sahaja, apabila timbul soal NGO itu dah dibatal, manalah kita nak tahu, kadang mana kita nak periksa.
“Sebelum ini memang tidak pernah bekerjasama dengan Ikhlas, itu pertama kali kalau tidak silap.
“Kita (PPIM) tidak pernah bekerjasama dengan NGO yang sudah dibatal pendaftaran sebelum ini, yang ini (Ikhlas) memang kita tidak tahu, kita pun agak pelik, sepatutnya dia beritahu kita (RoS dah batal pendaftaran),” katanya.
Tambah Nadzim, pihaknya juga tidak mengetahui Ikhlas bergerak melalui Sekretariat Gabungan NGO Ikhlas Malaysia selepas pendaftarannya dibatal.
“Kita pun tidak tahu mereka tubuhkan sekretariat NGO Ikhlas, sebab kalau dah batal, macam mana pula boleh nak gerakkan untuk tubuh sekretariat, sesuatu yang pelik di situ,” katanya.
Ditanya adakah tempoh ketika negara dilanda Covid-19 menyebabkan sukar bagi NGO menghantar laporan kewangan kepada RoS, Nadzim berkata, perkara itu tidak patut menjadi halangan kerana ia menjadi tanggungjawab semua NGO berdaftar.
Katanya, sebagai NGO membawa isu kepenggunaan, PPIM berusaha untuk mengelak terbabit dalam isu sensitif bagi
memastikan kredibiliti dan kepercayaan orang ramai terhadap NGO tidak tergugat.
“Sebagai NGO juga, sepatutnya kita bantu membantu sesama kita untuk perkara yang baik, itu sahaja, dan kita elak dan jauhkan daripada isu-isu yang sensitif atau berkait integriti.
“Kita pun sentiasa cuba berhati-hati dalam beroperasi, pertamanya mungkin kita tidak minta bayaran, sebabnya nak bantu dan membuat kebajikan kepada pengguna.
“Contoh satu ketika dahulu kes gores dan menang yang kita bawa, tipu ramai orang, sangat jahat, kes yang besar hingga di bawa ke Parlimen,selain itu isu boikot (produk Amerika Syarikat dan Israel) pun kita buat, hingga Pengarah Urusan Nestle datang bertemu, maklum jualan terjejas.
“Tapi kita tak buat salah apa pun, ia lebih kepada arah dasar untuk rakyat dan kerajaan.
Kita bukan buat perkara seperti sabotaj, ia lebih kepada memberi kesedaran tentang apa yang berlaku,” katanya.
Beliau juga memaklumkan akan bertemu dan bertanyakan ahli PPIM yang turut serta dalam program bersama Ikhlas itu.
“Kita hendak dengar apa cerita dari mulut mereka, bimbang dengan macam-macam kemungkinan, kita takut ada maklumat yang tak sampai ke atas (kepada ketua),” katanya.
Pada Januari 2023, Ridzuan telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas 12 pertuduhan membuat tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mendapatkan insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0, berjumlah RM378,000.
Beliau didakwa mengemukakan dokumen dengan maklumat gaji yang tidak tepat, menunjukkan bahawa pekerja yang disenaraikan telah menerima bayaran yang sebenarnya tidak dibuat.
Semua pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. – 22 Jun, 2025

