HEADLINES

Siasatan letupan Putra Heights: taklimat teknikal atau lepas tangan? – Rizal Ishak

Jawapan yang dinanti cuma penuh jargon, mengelak isu sebenar, dan berakhir dengan kesimpulan yang ‘kemas’ – bukan kebenaran, tulis seorang pemerhati kecewa

10:00 AM MYT

 

SAYA baru-baru ini menonton pengumuman hasil siasatan letupan saluran paip gas di Putra Heights yang cukup dinanti-nantikan. Saya guna perkataan “pengumuman” dengan sengaja, sebab itulah realitinya: satu formaliti tanpa sebarang usaha ikhlas untuk menjelaskan kepada orang awam apa sebenarnya yang berlaku. 

Bagi kami yang menonton dengan harapan untuk dapat penjelasan dan penutup, yang kami terima hanyalah monolog teknikal berselindung di sebalik nada birokratik yang hambar.

Mari kita mula dengan jurucakap dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Beliau muncul di podium – nampaknya dengan skrip yang telah disediakan – dan membacanya seolah-olah sedang menyampaikan syarat jaminan produk pemanggang roti. Penyampaiannya penuh dengan istilah teknikal sehingga kalau anda bukan jurutera geoteknik atau tak ada PhD dalam integriti saluran paip, memang akan tercicir terus. 

Sepanjang penyampaian, langsung tiada usaha untuk menjelaskan maksud sebenar dalam bahasa yang mudah difahami. Ini bukan satu taklimat – ini adalah sesi PR yang menyamar sebagai sidang media.

Sekarang kita sentuh pula soal kandungan, atau lebih tepat, ketiadaan kandungan yang berguna. Hasil siasatan yang dikemukakan amat mengecewakan. Menurut JKKP, kegagalan saluran paip disebabkan oleh “pergerakan tanah” dan “kondisi tanah lembut di bawah paip.” Ini definisi klasik bagi kenyataan yang nampak teknikal tapi langsung tidak menjawab persoalan asas. Bila wartawan tanya lebih lanjut – adakah disebabkan hujan? paip air bocor? projek pembinaan bersebelahan? ataupun nasib malang semata-mata? – jurucakap itu mengelak soalan seperti penari ballroom berpengalaman.

Inilah punca utama rasa kecewa orang awam. Bukan sebab kami tak boleh terima hakikat tanah boleh bergerak, Malaysia memang biasa dengan isu itu. Tapi kenapa gagal jawab soalan susulan yang paling asas: kenapa tanah itu bergerak? Apa punca kelemahan tanah? Siapa yang mungkin bertanggungjawab?

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah), bercakap pada sidang media mengenai laporan akhir siasatan insiden kebakaran di Putra Heights baru-baru ini. – Gambar media sosial, 3 Julai 2025

Menuding jari kepada “tanah” semata-mata tanpa huraian lanjut bukan sahaja malas dari segi intelektual, malah memperlekeh kebijaksanaan awam. Adakah kita disuruh percaya bahawa tanah, secara sendiri dan dengan sengaja, tiba-tiba mahu tenggelam atau berganjak cukup kuat untuk merobek paip gas dan mencetuskan letupan? Kalau itulah naratifnya, kita berhak dapat lebih daripada deskripsi kabur dan istilah teknikal kosong. Kita berhak tahu kebenaran!

Dan kalau pihak berkuasa enggan menyatakannya, biar saya utarakan teori yang dah lama berlegar di kalangan masyarakat: mungkinkah pembangunan yang diluluskan terlalu hampir dengan koridor paip – kawasan perumahan, lot kedai, atau kerja tanah baru-baru ini – menyumbang kepada ketidakstabilan tanah? 

Paip itu dah ada di situ selama berdekad tanpa masalah. Apa yang berubah dalam beberapa tahun kebelakangan ini? Kalau ada kerja pengorekan, pembinaan, ubah suai sistem saliran atau pemadatan tanah berdekatan, orang ramai berhak tahu. Kalau semua ini menyumbang kepada kelemahan tanah, maka ini bukan kejadian alam semula jadi yang malang, tapi kesan daripada perancangan dan pengawasan yang cuai.

Corak penceritaan yang terpilih ini mengingatkan saya kepada tragedi Highland Towers pada tahun 1993 – bencana negara yang masih segar dalam ingatan ramai. Waktu itu juga, alasan yang diberikan berkisar tentang “pergerakan tanah” dan “ketidakstabilan cerun.” Tapi akhirnya jelas bahawa masalah sebenar ialah air – air yang dialirkan semula, diurus dengan cuai, dan diabaikan akibat projek perumahan atas bukit yang diluluskan tanpa mengambil kira kesan alam sekitar. Air itu melemahkan cerun, mengakibatkan runtuhan Blok Satu dan meragut 48 nyawa.

Tragedi itu juga dibungkus dengan istilah seperti “kegagalan tanah” dan “tekanan hidrostatik.” Tapi di sebalik istilah itu terselit kegagalan pertimbangan – kelulusan yang terlalu mudah, pembangunan yang terlalu hampir dengan bahaya, dan agensi yang hanya bertindak selepas musibah berlaku.

Insiden di Putra Heights mungkin tidak meragut nyawa – tetapi perkara itu boleh berlaku. Dan persamaan antara kedua-dua kes terlalu ketara untuk diabaikan.

Sekali lagi, kita ada letupan, kerosakan rumah, ketakutan komuniti – dan satu kesimpulan yang terlalu rapi hingga mengelak soalan sebenar tentang bagaimana keputusan pembangunan boleh bercanggah dengan keselamatan awam.

Kalau kita terus pejam sebelah mata – atau kedua-duanya – terhadap isu sebenar bagaimana kita benarkan pembangunan dekat infrastruktur kritikal, ini bukan kali terakhir kita akan dengar bencana berpunca daripada “tanah.” Sama ada di kawasan tanah tinggi atau di bandar padat, tanah tak bergerak sesuka hati. Ia berubah bila kita ganggu. Ia lemah bila kita ubah sistem saliran, korek sekelilingnya, atau bina sesuatu tanpa faham akibatnya. Dan akibat itu bukan sahaja libatkan kerosakan harta benda, ia boleh membunuh.

Jadi kepada pihak berkuasa – kalau nak adakan sidang media, biarlah berbaloi dengan masa rakyat. Jangan berselindung di sebalik teknikaliti atau beri kami separuh kebenaran. Kami tak minta keajaiban – cuma ketelusan, kebertanggungjawaban, dan jawapan yang menghormati hak rakyat untuk tahu. – 3 Julai 2025

Rizal Ishak adalah pembaca Scoop

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related