KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia memberikan sumbangan ihsan kepada keluarga bekas Setiausaha Politik Exco Selangor, mendiang Teoh Beng Hock, namun jumlahnya akan ditentukan kelak.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia bagi tujuan kebajikan dan pendidikan anak mendiang.
“Walaupun siasatan terkini tidak menemui bukti yang mencukupi untuk membuktikan apa jua kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang, SPRM tetap memandang serius bahawa mendiang Teoh Beng Hock ditemui meninggal dunia di premis SPRM Selangor pada 16 Julai 2009.
“Ia merupakan satu insiden hitam yang telah memberi kesan besar bukan sahaja kepada waris mendiang tetapi juga kepada seluruh warga SPRM dan negara.
“Atas dasar keprihatinan, saya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM, ingin menzahirkan perasaan simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang atas penderitaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh tersebut,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Mendiang Teoh Beng Hock ditemui maut pada 16 Julai 2009 di bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat SPRM.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh, serta mendapati tiada pihak ketiga dalam kes kematiannya.
Pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya adalah akibat bunuh diri.
Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock, sekali gus memutuskan kematiannya adalah akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Pada 22 Mei lalu, kes kematian Teoh Beng Hock telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) dan keputusan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) setelah meneliti dan mengkaji semua keterangan yang terdapat dalam kertas siasatan yang dikemukakan oleh polis.
Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM mengiktiraf keputusan daripada pelbagai siasatan yang telah dijalankan berhubung kes kematian Beng Hock sepanjang 16 tahun lalu.
Ini termasuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada tahun 2011, keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014 serta siasatan terkini oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara.
Beliau juga memberitahu SPRM komited memperbaiki kelemahan dengan mengambil pelbagai langkah penambahbaikan untuk memastikan kebajikan individu yang hadir membantu siasatan sentiasa terpelihara.
Antaranya mewujudkan bilik rakaman video, bilik temu bual saksi di aras bawah, CCTV yang dipertingkatkan dengan teknologi tinggi dan kuantitinya ditambah, Kompleks Bangunan SPRM dilengkapi pemasangan jeriji besi, penggunaan Body Worn Camera dan menggunakan teknik soal siasat model PEACE (Planning, Engage, Account, Closure, Evaluation).
“SPRM juga mengambil maklum pada 12 Mei 2015, kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM600,000 kepada keluarga mendiang serta tambahan RM60,000 bagi menampung kos guaman sebagai penyelesaian penuh dan muktamad di bawah Seksyen 7 & 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956,’’ katanya. – 16 Julai, 2025.
