HEADLINES

Tiada pengumuman siapa dilantik Ketua Hakim Negara, tunggu esok

Jawatan Ketua Hakim Negara kosong selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat secara rasmi menamatkan perkhidmatannya kerana persaraan wajib pada 2 Julai lalu

8:34 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ramai yang menanti pengumuman Ketua Hakim Negara yang baharu hari ini. Namun ia tidak berlaku dan semua pihak perlu menunggu sehari lagi kerana Majlis Raja-Raja hanya akan mengumumkan pelantikan berkenaan esok.

Jawatan Ketua Hakim Negara kosong selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat secara rasmi menamatkan perkhidmatannya kerana persaraan wajib pada 2 Julai lalu.

Beliau mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Ketua Hakim Negara.

Ketika ini jawatan Ketua Hakim Negara dipangku Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim. Selain tumpuan jawatan berkenaan, pelantikan Presiden Mahkamah Rayuan turut mendapat perhatian kerana Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim telah mencapai usia persaraan wajib, 66 tahun pada 3 Julai lalu.

Tanpa pengumuman hari ini, pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman negara terus menjadi tanda tanya.

Meskipun isu mengenai pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman itu dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-2269, yang berlangsung di Istana Negara, namun tiada pengumuman dibuat hari ini.

Mesyuarat tersebut yang dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah akan bersambung esok.

Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan, mesyuarat itu turut membincangkan mengenai pelantikan hakim termasuk Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, selain pelantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Presiden Mahkamah Rayuan serta Ketua Hakim Negara.

Isu mengenai badan kehakiman menarik perhatian ramai apatah lagi selepas dakwaan berhubung pendedahan dan penyebaran dokumen disyaki minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC). Dakwaan kebocoran dokumen itu kini dalam siasatan polis.

Petikan dokumen yang didakwa minit mesyuarat JAC, yang dikatakan berlangsung pada Mei lalu, dipercayai bermula dari laman Reddit sebelum menjadi tular di Facebook dan aplikasi X.

Isu yang melibatkan badan kehakiman ini juga menyebabkan Majlis Peguam mengadakan perarakan di Putrajaya pada Isnin lalu, menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa isu utama termasuk kekosongan jawatan kehakiman yang berlarutan, keperluan untuk memastikan kesinambungan institusi kehakiman serta menuntut proses pelantikan kehakiman yang lebih telus dan bertanggungjawab.

Ia menjadi isu apabila timbul spekulasi selepas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang juga bekas Peguam Negara (AG) dikatakan antara nama yang tercalon untuk menggantikan Tengku Maimun.

Namun laporan media yang memetik sumber seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) berkata Terrirudin bukan calon yang akan mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara.

“Kita diberitahu bahawa nama Terrirudin tiada dalam senarai yang akan dipersembahkan kepada Agong,” katanya, selepas perjumpaan ahli-ahli Parlimen PH bersama PM baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama lapan Ahli Parlimen PKR yang lain turut menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pelantikan hakim dan dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman.

Kumpulan itu turut mendesak satu sesi pendengaran oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, selepas wujud kelewatan dalam pelantikan jawatan kehakiman tertinggi termasuk Ketua Hakim Negara, yang telah mencetus krisis Perlembagaan. – 16 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Horror at Bangkok shopping mall as two Malaysians set on fire in unprovoked attack

A Thai man set fire to the tourists after dousing them with paint thinner, with bystanders quickly intervening to restrain him

Related