HEADLINES

Jho Low guna pasport palsu Australia daftar syarikat di UK

Tom Wright berkongsi dokumen syarikat terbabit lengkap dengan butiran sama seperti nama, bulan dan tahun lahir ahli perniagaan dalam buruan berkenaan

11:54 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan dalam buruan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low, didakwa menggunakan pasport Australia palsu untuk mendaftarkan sebuah syarikat di United Kingdom (UK).

Perkembangan terbaharu itu didedahkan wartawan penyiasatan, Tom Wright, menerusi satu perkongsian di platform X, semalam.

Menerusi hantaran itu, Wright berkongsi dokumen berkaitan syarikat (di UK) terbabit dengan butiran sama seperti nama, bulan dan tahun lahir ahli perniagaan dalam buruan berkenaan.

Wright menjelaskan, maklumat baharu yang diterima juga menunjukkan kemungkinan kaitan Jho Low dengan beberapa entiti korporat di Amerika Syarikat serta hubungan lain di Hong Kong.

“Pemburuan terhadap Jho Low membawa kepada bukti baharu. Pasport Australia palsu miliknya (dengan nama dan tarikh lahir sama) dipercayai digunakan untuk membuka sebuah syarikat di UK.

“Maklumat baharu turut diterima membabitkan syarikat di Amerika Syarikat serta kemungkinan ada kaitan dengan Hong Kong,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Hantaran itu dijangka mencetus semula tekanan terhadap usaha pengesanan dan ekstradisi Jho Low yang kali terakhir dikaitkan berada di China.

Media sebelum ini melaporkan, rakan Wright yang juga wartawan penyiasatan, Bradley Hope mendakwa Jho Low kini menetap di kawasan elit Green Hills, Shanghai, China.

Ahli perniagaan dalam buruan itu juga dikatakan menggunakan pasport palsu Australia atas nama Greek bagi menyembunyikan identiti.

Butiran itu didedahkan satu artikel bertajuk RICH LIST: Playboy Financier Jho Low Turned International Fugitive ditulis oleh Hope yang diterbitkan di laman Whale Hunting, pada 18 Julai lalu.

Dalam artikel itu, Hope turut mendakwa Jho Low berperanan sebagai strategis bayangan kepada kerajaan China, membantu syarikat yang dikenakan sekatan antarabangsa terus beroperasi di peringkat global.

Untuk rekod, Tom Wright dan Bradley Hope ialah wartawan penyiasatan yang dikenali menerusi pendedahan mereka mengenai skandal 1MDB ketika berkhidmat di The Wall Street Journal.

Mereka turut menulis buku terkenal berjudul Billion Dollar Whale, yang mendokumentasikan bagaimana Jho Low memperdaya institusi kewangan global, selebriti Hollywood dan pemimpin dunia.

Kini, mereka menubuhkan syarikat penerbitan penyiasatan bebas, Project Brazen, medium utama bagi mereka untuk terus menyiarkan perkembangan baharu berkaitan kes 1MDB dan keberadaan Jho Low. – 23 Julai, 2025

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

[WATCH] GP fee hike may finally end clinic medicine markups: Dr Thirunavukarasu

Malaysian Medical Association president says decades of suppressed consultation rates forced clinics to rely on medicine sales — but warns patients will still bear rising healthcare costs despite long-overdue reforms

Right-wing commentator Ian Miles Cheong under police scrutiny

According to authorities, investigation focuses on alleged social media posts that could incite public unrest

Related