KUALA LUMPUR – Kemelut dalaman yang menyebabkan kelemahan Perikatan Nasional (PN) berpunca daripada kepimpinan Bersatu yang kini berpecah antara kem Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri dari DAP, Liew Chin Tong mendakwa Bersatu kini terperangkap dalam dilema kepemimpinan selepas sinar politik Muhyiddin semakin pudar manakala Hamzah pula tidak memiliki karisma untuk diangkat sebagai pemimpin nasional.
Beliau mendakwa, perpecahan dalam kalangan Bersatu juga semakin jelas dengan sebahagian pihak mahu Presiden diganti oleh Hamzah sementara manakala penyokong Mohamed Azmin menjadi faktor perpecahan.
“Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Muhyiddin bukan lagi tokoh yang mampu menarik pengundi jalan tengah.
“Walaupun sebelum ini PN mendapat lonjakan akibat pecahan undi tiga penjuru dan gelombang anti-Barisan Nasional, daya tarikan itu sudah tidak sama.
“Sehingga hari ini, kumpulan-kumpulan yang bersaing kuasa ini belum berjaya mencapai kata sepakat. Jika Muhyiddin memberi jalan, Hamzah yang bakal menggantikannya akan mengetepikan Azmin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) berkata, PAS pula berhadapan cabaran untuk menarik pengundi moderat, meskipun mempunyai tokoh seperti Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang berpotensi besar.
“Malangnya, PAS masih berpegang kepada dogma 1982 hasil pengaruh Revolusi Iran dan kepemimpinan ulama.
“Tanpa anjakan ke arah pendekatan lebih sederhana, PAS sukar memenangi kepercayaan pelbagai kaum,” katanya.
Beliau berkata, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang kini uzur juga dilaporkan mahu terus mempertahankan jawatan dalam pemilihan parti itu September ini, sekali gus menyukarkan mana-mana suara pembaharuan untuk mara ke hadapan.
“Ia semakin menyukarkan PAS untuk berganjak keluar daripada pegangan 1982,” katanya.
Chin Tong turut menegaskan, jika PAS dan Bersatu gagal melakukan pembaharuan dalaman, gabungan itu tidak akan mampu meyakinkan pengundi jalan tengah.
“Dengan Bersatu yang berpecah, PAS yang kembali kepada pendekatan keras dan PN yang lebih banyak membangkang daripada mencadangkan, sukar untuk pengundi jalan tengah melihat mereka sebagai pilihan alternatif,” katanya.
“Sejarah menunjukkan kejayaan politik memerlukan kemampuan menjangkau luar dari kelompok penyokong tegar,” katanya.
Beliau juga menyifatkan himpunan pembangkang Sabtu lalu gagal menarik penyertaan rakyat Malaysia yang tidak berparti.
Katanya, usaha itu hanya cubaan membangkitkan semangat penyokong yang semakin lesu.
“Perhimpunan yang dipimpin Muhyiddin itu dapat membawa ramai hadirin yang hampir kesemuanya adalah penyokong PAS, namun gagal menarik penyertaan rakyat Malaysia yang tidak berparti,” katanya. – 28 Julai, 2025

