Beras putih Madani salah satu penyelesaian, kena teliti menyeluruh isu, harga padi: Pengerusi Mada

Beliau berkata, tidak logik untuk memansuhkan beras lain dan mengeluarkan satu jenama beras sahaja kerana isunya sekarang harga beras berkait dengan harga padi

1:16 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Cadangan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani pada harga RM30 bagi 10 kilogram (kg), hanya satu daripada langkah penyelesaian bagi menangani isu dalam industri padi beras negara.

Bercakap kepada Scoop, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Datuk Ismail Salleh berkata, cadangan dikemuka Pengerusi Pasukan Petugas Makanan di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) itu bagaimanapun, tidak boleh menyelesaikan isu berkenaan secara menyeluruh.

Kesukaran mendapatkan beras tempatan di pasaran, rakyat juga resah dengan harga beras import yang terlalu tinggi mencecah RM40 hingga RM50 bagi 10kg. – Gambar hiasan Pexels, 16 Februari, 2024

“Cadangan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz (Syed Abdul Fasal) itu yang mana hanya satu beras tunggal dikeluarkan hanya salah satu penyelesaian. Tapi ada isu lain dijangka timbul, dari segi harga nanti ia tidak akan kekal macam itu, sebab harga beras import itu berubah-ubah.

“(Cadangan) ini mungkin boleh atasi isu manipulasi di peringkat kilang yang mana beras tempatan dicampur beras import.

“Dalam peringkat awal menangani isu ini menerusi persampelan beras diambil Mardi dalam operasi sebelum ini mendapati, semuanya bercampur.

“Tidak ada kilang yang tidak campur beras, 70 peratus beras tempatan dan 30 peratus beras import yang menjadikan tidak adalah beras putih tempatan (SST) pada harga RM26 bagi 10kg itu (di pasaran),” katanya.

Beliau berkata, tidak logik untuk memansuhkan beras lain dan mengeluarkan satu jenama beras sahaja kerana isunya sekarang harga beras berkait dengan harga padi.

Adalah tidak logik untuk memansuhkan beras lain dan mengeluarkan satu jenama beras sahaja kerana isunya sekarang harga beras berkait dengan harga padi. – Gambar Scoop, 16 Februari, 2024

“Namun harga padi tidak dikawal hingga ada mencecah RM1,850 per matrik tan. Pada saya pengasingan bagi beras tempatan dan beras import masih perlu berlaku tetapi dengan kawalan.

“Contoh, kalau kita nak kawal harga beras masih RM2.60 per kg dengan harga padi sekarang RM1,300 per metrik tan, (dengan) harga padi macam itu masih boleh kisar jadi beras, masih boleh jual kepada peruncit dengan harga RM2.60, keuntungan sedikit tapi masih ada untung, tapi kilang tidak mahu buat macam itu,” katanya.

Beliau secara peribadi bersetuju harga beras dinaikkan daripada RM26 bagi 10kg kepada RM30, namun pada masa sama harga padi masih perlu dikawal dengan menggesa kementerian berkaitan menggunakan Akta 522.

“Contoh, dengan harga RM3 per kg itu, harga padi perlu dikawal dengan kadar lantai RM1,300 hingga siling RM1,400.

“Bila ada harga siling, harga padi tidak akan naik, harga padi itu pula akan diikuti dengan harga benih padi, kawal harga benih padi antara RM1,500 hingga RM1,600 per metrik tan, jadi benih padi masih boleh dijual satu beg 20kg pada harga RM45,” katanya.

Ismail berkata, dengan kesukaran mendapatkan beras tempatan di pasaran, rakyat juga resah dengan harga beras import yang terlalu tinggi mencecah RM40 hingga RM50 bagi 10kg.

“Buat masa sekarang ini apa yang penting adalah stabilkan harga beras dulu, kemudian rancang, kalau di masa-masa hadapan hendak mengapungkan harga pun tidak ada masalah.

“Kita dah ada data Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) untuk beri subsidi kepada golongan yang betul-betul terkesan yang perlu beras dengan harga rendah.

“Pada saya jalan penyelesaian isu ini banyak, kena ambil tindakan dengan mengambil kira harga padi untuk petani berapa, pengilang pun dapat untung, dan rakyat juga tidak terbeban dengan harga terlalu tinggi,” katanya.

Ismail Salleh bersetuju harga beras dinaikkan daripada RM26 bagi 10kg kepada RM30, namun pada masa sama harga padi masih perlu dikawal dengan menggesa kementerian berkaitan menggunakan Akta 522. – Azim Rahman/Scoop, 16 Februari, 2024

Terdahulu, Syed Abu Hussin dalam satu sidang media berkata, kerajaan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang akan dijual pada harga RM30 bagi kampit 10kg berkuat kuasa 19 Februari ini.

Serentak pengumuman itu, beliau berkata, kategori beras putih tempatan atau dikenali sebagai super spesial tempatan (SST) dan beras putih import dimansuhkan.

Namun pengumuman Syed Abu Hussin itu dilihat mendahului Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang mempunyai kuasa mengikut akta berkait sebarang harga kawalan beras.

Sumber KPKM berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sebaik sahaja beliau pulang dari Iran, Jumaat depan.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) akan bermesyuarat dan memuktamadkan harga kawalan beras pada minggu depan, sebagai respon terhadap kekeliruan berhubung cadangan beras putih Madani.

“Kita menangguhkan mesyuarat Naccol ke minggu depan, di mana kami akan membuat keputusan muktamad mengenai kawalan harga beras.

“Walaupun ia (harga) tidak boleh terlalu rendah, saya yakin ia boleh dikurangkan jika kita melihat kepada bekalan, siapa kontraktor dan berapa banyak keuntungan yang mereka hasilkan,” katanya. – 16 Februari, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Related