KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) akan menuntut perincian lebih jelas daripada kerajaan berkenaan mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 yang dilaksana September ini, di mana rakyat Malaysia bakal menikmati subsidi pada kadar RM1.99 seliter.
Bercakap kepada Scoop, Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, terdapat ‘grey area’ atau kekaburan dalam mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi itu.
“Kami masih tidak jelas lagi mekanisme pelaksanaan itu macam mana, bagi kepada semua rakyat Malaysia atau ada yang tidak layak mendapat subsidi itu.
“Contohnya dulu, ada Mykad, tapi bawa kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura, tidak boleh isi minyak RON95, tapi baru ini kerajaan kata semua rakyat dapat, jadi timbul kekeliruan.
“Satu lagi contoh ialah pelancong asing tinggal di Malaysia dan membawa kenderaan dengan pendaftaran tempatan. Adakah mereka layak mendapat subsidi minyak atau tidak?.
“Dulu mereka dapat sebab menggunakan nombor pendaftaran tempatan namun dengan pelaksanaan baharu, dia warga asing, memang tak akan dapat subsidi.
“Jadi wujud ‘grey area’ untuk mekanisme itu, sebab cabaran dan cara hendak menguatkuasakan lain, apa yang kita bincangkan selama ini jadi terbalik, adakah guna mekanisme sama atau lain,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pengumuman khas kepada rakyat baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak.
Perdana Menteri berkata, langkah itu tentunya bakal memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan kekal dengan perancangan menyasarkan subsidi petrol RON95 dengan perinciannya bakal diumumkan menjelang akhir September depan.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025, Anwar berkata, pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak akan menjejaskan 85% rakyat Malaysia.
Mengulas lanjut, Khairul Annuar berkata, PDAM juga sedang menunggu maklum balas untuk bertemu Kementerian Kewangan (MOF).
“Sebab kekangan masa untuk pengusaha bersedia yang mana semakin hampir dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi itu dijangka pada September ini.
“Kami juga sepatutnya ada dalam perbincangan pilot, tapi syarikat minyak semua tidak mahu libatkan kami, jadi pihak berkenaan berbincang secara terus dengan MOF tanpa kami,” katanya.
Selain itu, pihaknya juga berharap sistem mengagihkan subsidi RON95 bersifat automatik, laju dan stabil bagi mengelakkan gangguan operasi harian dan menyulitkan pengguna.
Kharul berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar berjalan lancar tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan.
Bagaimanapun beliau bimbang terhadap tekanan aliran tunai dihadapi pengusaha stesen minyak di bawah mekanisme subsidi bersasar berikutan perlu membeli petrol RON95 pada harga pasaran penuh dan menunggu bayaran semula subsidi daripada kerajaan.
“Ini memberi tekanan besar kepada aliran tunai, khususnya bagi stesen kecil dan sederhana.
“Kami harap perundingan dengan Kementerian Kewangan agar bayaran balik subsidi dilakukan secara harian dan tidak tertangguh,” katanya.
Beliau turut menyentuh soal peningkatan kos operasi termasuk kadar caj transaksi elektronik (MDR) yang dikenakan ke atas pembayaran elektronik semakin tinggi, melebihi margin keuntungan yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Ini menyebabkan pengusaha menanggung kerugian untuk setiap transaksi yang menggunakan e-wallet atau kad,” katanya. – 29 Julai, 2025

