KUALA LUMPUR – Beberapa suspek dipercayai terbabit dalam kes buli Zara Qairina Mahathir akan dituduh berdasarkan keterangan yang ada.
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan berkata, ia susulan penelitian kertas siasatan kes kematian pelajar Tingkatan 1 itu yang dirujuk polis.
“Keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang akan berjalan,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.
Menurut kenyataan itu, walaupun keputusan untuk menuduh suspek bagi kesalahan buli dibuat, ia tidak akan menjejaskan siasatan masih dijalankan polis berhubung kes kematian Zara termasuk prosiding inkues akan dijalankan di mahkamah.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan terdapat unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual dalam kes kematian Allahyarham Zara.
Beliau berkata, semua aspek berkenaan dikenal pasti selepas mengambil keterangan daripada 195 saksi setakat hari ini.
“Saya tak tolak daripada membaca tuduhan itu ada elemen buli. Ya, saya nak sebut ada elemen buli. Jelas.
“Ada elemen pengabaian kerana adik ini ada membuat aduan kepada pihak sekolah, jadi kita siasat ada elemen pengabaian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz yang bertindak sebagai koroner awal pagi tadi menetapkan inkues bagi menentukan punca dan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kematian Zara akan bermula 3 September ini.
Azreena menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes berkenaan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini.
Prosiding akan berlangsung pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.
Allahyarham Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi, 16 Julai lalu selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada keesokannya.
Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos lalu bagi membolehkan bedah siasat dijalankan susulan dakwaan wujud kejadian buli. – 18 Ogos, 2025
