KUALA LUMPUR – Dianggarkan 850,000 rakyat sudah membelanjakan lebih RM50 juta pada hari pertama pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 semalam.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan semalam berkata, angka itu diperoleh setakat jam 9.30 malam tadi. Berikutan jumlah penggunaan yang terlalu tinggi, sistem turut mengalami transaksi mendadak.
“Susulan daripada itu, sistem terminal pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKasih mengalami penurunan prestasi yang ketara di beberapa lokasi.
“Walaupun sistem beroperasi dengan lebih perlahan, transaksi masih diterima dan diproses,” menurut kenyataan kementerian itu, lapor BH.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Julai lalu mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warga negara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA.
Beliau berkata, pemberian bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos itu, adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.
Berikutan itu, MOF dan MyKasih mengambil langkah bagi meningkatkan kapasiti sistem supaya rakyat dapat terus membuat pembelian melalui SARA dengan lancar tanpa gangguan.
“Bagi memastikan sistem kembali stabil dan bersedia untuk rakyat meneruskan perbelanjaan melalui SARA hari ini, pihak MyKasih melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem malam tadi.
“Pihak kementerian memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna dan akan terus memantau pelaksanaan inisiatif ini berjalan lancar,” menurut MOF, yang menyedari bilangan transaksi semalam adalah jauh lebih tinggi berbanding pengalaman sebelum ini.
Sehingga Sabtu lalu, pelaksanaan bulanan SARA mampu mengendali purata transaksi harian sekitar 600,000 transaksi sehari.
Kementerian juga ingin mengingatkan bahawa kredit RM100 ‘one-off’ Penghargaan SARA ini kekal sah sehingga 31 Disember dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara. – 1 September, 2025
