HEADLINES

Anwar tiba di Doha hadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam

Perdana Menteri dijadual menyampaikan pendirian tegas negara bahawa keamanan serantau dan dunia terancam sekiranya Israel terus mencabul undang-undang antarabangsa, Piagam PBB dan kedaulatan negara

9:40 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Doha, Qatar malam tadi untuk menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam, yang akan disertai pemimpin dan wakil negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hari ini.

Memetik laporan Bernama, pesawat khas membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada jam 9.30 malam tadi (Ahad) waktu tempatan (2.30 pagi Isnin waktu Malaysia).

Perdana Menteri menghadiri sidang kemuncak luar biasa itu atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, susulan perkembangan terkini membabitkan serangan Israel terhadap negara itu.

Sebaik tiba Perdana Menteri menerima kawalan kehormatan daripada Pengawal Istiadat Amiri dan disambut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Qatar Sheikh Saoud bin Abdulrahman Al Thani.

Hadir sama Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Duta Besar Malaysia ke Qatar, Faizal Razali.

Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam itu didahului dengan Mesyuarat Persediaan Peringkat Menteri Arab-Islam semalam (14 September).

Mengikut jadual, persidangan itu antara lain akan membincangkan perkembangan mutakhir di Gaza, Palestin dan serangan ganas Zionis ke atas wilayah berkenaan yang sebelum ini disifatkan Anwar sebagai amat melampau.

Menurut laporan media antarabangsa, sidang kemuncak itu diadakan bagi membincangkan serangan Zionis ke atas Doha pada 9 September lalu yang didakwa menyasarkan kepimpinan politik Hamas yang ketika itu bermesyuarat mengenai cadangan gencatan senjata Gaza disokong Amerika Syarikat.

Serangan di kawasan Leqtaifiya itu melibatkan kira-kira 15 jet pejuang Zionis, mengorbankan enam orang termasuk anak kepada pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar, sementara pemimpin utama Hamas dilaporkan terselamat. 

Perdana Menteri dijadual menyampaikan Kenyataan Negara bagi menegaskan pendirian tegas Malaysia bahawa keamanan serantau dan dunia terancam sekiranya Israel terus mencabul undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kedaulatan negara, pada sidang kemuncak luar biasa itu.

Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan penyertaan Perdana Menteri dalam persidangan berkenaan menunjukkan sokongan penuh dan solidariti terhadap Qatar, selain kesinambungan usaha Malaysia mempertahankan hak rakyat Palestin serta mengecam kekejaman dan keganasan Israel.

Dalama kenyataan itu, satu resolusi yang menggariskan tindakan dan pendirian bersama negara anggota dalam menangani perkembangan tersebut dijangka diluluskan pada sidang kemuncak berkenaan. – 15 September, 2025

Topics

 

Hangat

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Feathers ruffled over hornbill flap – Joseph Masilamany

Why getting Sarawak’s state bird right matters more than you think 

Related