HEADLINES

Mahkamah arah Shell MDS bayar lebih RM500 juta pada Petronas bagi bayaran gas

Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Petronas untuk mengetepikan injunksi interim Mahkamah Tinggi, yang sebelum ini menghendakinya terus membekalkan gas kepada Shell MDS tanpa menerima sebarang bayaran melibatkan fasiliti di Bintulu

9:16 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan semalam telah mengarahkan Shell MDS (Malaysia) Sdn. Bhd. menjelaskan bayaran pembekalan gas, dianggarkan melebihi RM500 juta kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) melibatkan fasiliti di Bintulu, Sarawak, sejak Ogos tahun lalu.

Ia berikutan Petronas berjaya mengetepikan injunksi interim yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 29 Januari lalu, supaya syarikat minyak nasional itu terus membekalkan gas kepada Shell MDS tanpa sebarang bayaran.

Bayaran yang terlibat adalah berkaitan dengan bekalan gas bernilai RM80 juta sebulan sejak Ogos tahun lalu.

Shell MDS telah menahan bayaran berhubung dua invois iaitu satu daripada Petronas dan satu lagi daripada Petroleum Sarawak Bhd (Petros) berikutan kebimbangan kemungkinan berlaku bayaran berganda sementara isu bidang kuasa antara Petronas dan Petros sedang diselesaikan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azimah Omar yang bersidang bersama-sama Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim memerintahkan Shell membuat pembayaran dalam tempoh 14 hari bermula semalam, lapor Malaysia Gazette.

Pembayaran turut dikira bermula semalam hingga 5 Oktober ini dan jumlah itu didepositkan pada keesokannya.

Petronas juga berjaya mengetepikan injunksi kedua dan ketiga iaitu berhubung Jaminan Bank.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Cyrus V Das, Khoo Guan Huat dan Datuk Azian Mohd. Aziz mewakili Petronas manakala Christopher Leong dan Janet Chai Pei Ying mewakili Shell MDS sementara Logan Sabapathy dan Foo Joon Liang mewakili Petros selaku pencelah.

Shell MDS sebelum ini telah memohon injunksi, yang diberikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Arziah Mohamed Apandi, untuk menggantung pembayaran kepada Petronas dan Petros sambil memastikan bekalan gas berterusan.

Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Tinggi memberikan injunksi sementara kepada Shell MDS yang membolehkan syarikat itu menangguhkan pembayaran bagi bekalan gas asli di Bintulu.

Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi menggantung pembayaran kepada Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) namun memastikan bekalan gas terus disalurkan.

Beliau berkata, Shell MDS menghadapi risiko serta ancaman gangguan bekalan gas di bawah dua perjanjian jualan gas (GSA) yang bersaing dengan implikasi kewangan dianggarkan antara RM70 juta dan RM100 juta.

Injunksi itu diberikan berdasarkan pembabitan Shell MDS dalam dua perjanjian bekalan gas yang berasingan, iaitu satu dengan Petronas (ditandatangani pada 17 Julai 2020) dan satu lagi dengan Petros (ditandatangani pada 16 Ogos 2024).

Mahkamah sebelum ini diberitahu, Petronas mengalami kerugian lebih RM80 juta sebulan ekoran kegagalan pembayaran itu bermula Ogos tahun lalu meskipun gas terus dibekalkan.

Petronas kemudiannya mengemukakan rayuan bagi mengetepikan injunksi ke atasnya. – 23 September, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related