HEADLINES

Menteri beri jaminan ‘tiada cover up’ siasatan sindiket seleweng dana zakat kepada pemohon tidak layak

Seorang wanita ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan penyelewengan bantuan zakat berjumlah RM120,000 kepada 28 pemohon tidak layak

6:33 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang usaha ‘cover up’ akan berlaku dalam dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan pengurusan bantuan zakat berjumlah RM120,000 yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jaminan tersebut diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, apatah ia merupakan dana yang diamanahkan untuk kebajikan umat Islam yang mesti diuruskan dengan penuh integriti, amanah dan ketelusan.

Beliau turut memberi amaran mana-mana pegawai atau staf yang terlibat akan diambil tindakan tegas mengikut peraturan dan undang-undang.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengadu dan masyarakat awam yang berani tampil ke hadapan untuk melaporkan salah laku ini.

“Keberanian sebegini amat dihargai dan menjadi contoh kepada warga kerja lain serta masyarakat bahawa integriti adalah tanggungjawab bersama.

“Pada masa yang sama, saya menggalakkan orang ramai agar segera membuat aduan kepada pihak berkuasa atau agensi agama sekiranya mengetahui sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa atau rasuah.

“Setiap laporan akan diteliti dan disiasat dengan serius, tanpa sebarang kompromi,’’ katanya.

Semalam, SPRM Kuala Lumpur menahan seorang bekas pekerja sebuah badan berkanun kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyelewengan peruntukan wang zakat berjumlah kira-kira RM120,000 melibatkan 28 pemohon tidak layak.

Menurut sumber, wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada 4.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM2,500 serta melakukan perbuatan itu pada Mac lepas,” katanya.

Wanita itu ditahan reman selama empat hari sehingga 22 Oktober, selepas permohonan dibuat SPRM di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pagi semalam.

Dalam pada itu, Na’im memberitahu, peringatan dan teguran telah berulang kali diberikan kepada semua agensi di bawah portfolio Hal Ehwal Agama agar tidak sesekali mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Kegagalan menjaga integriti bukan sahaja mencemar nama baik institusi, malah mengkhianati kepercayaan umat Islam.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus bekerjasama rapat dengan SPRM dan agensi penguat kuasa lain dalam memastikan setiap bentuk salah laku ditangani dengan tegas dan telus,’’ katanya. – 20 Oktober, 2025.

Topics

 

Hangat

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related