HEADLINES

Malaysia jadi tumpuan, pemimpin dunia mula tiba di ibu kota, diketuai Presiden Brazil

Kehadiran pemimpin-pemimpin dunia itu menandangkan momentum yang semakin memuncak menjelang Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur

12:49 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin dunia mula tiba di ibu kota bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hujung minggu ini.

Antara yang dijangka tiba hari ini ialah Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva bersama isteri Rosangela Lula da Silva, Naib Perdana Menteri China He Lifeng; Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa dan isteri Dr Tshepo Motsepe serta Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao.

Bernama melaporkan, pemimpin tersebut yang akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan disertai oleh Menteri Luar Finland Elina Valtonen, Setiausaha Agung Asean, Dr Kao Kim Hourn dan isteri Khen Rany; Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas; Menteri Luar Indonesia Sugiono, serta Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Djamari Chaniago.

Sementara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa serta Perdana Menteri wanita pertama Jepun Sanae Takaichi pula dijangka berhimpun di KLCC hujung minggu ini.

Ia sekali gus menandakan momentum yang semakin memuncak menjelang sidang berkenaan, menjadikan Malaysia tumpuan dunia

Asean terdiri daripada 10 negara anggota, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Sidang Kemuncak Asean ke-47 ini menandakan kali kelima Malaysia memegang tampuk Kepengerusian Asean sejak penubuhan blok itu pada 1967, selepas mengetuainya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.

Acara itu turut menyaksikan penyertaan aktif Timor-Leste ke arah kemasukannya sebagai anggota ke-11 Asean yang dijangka dimuktamadkan semasa sidang kemuncak pada 26 Oktober ini.

Penganjuran Sidang Kemuncak Asean dan mesyuarat berkaitan oleh Malaysia berlangsung ketika ekonomi global berdepan tekanan daripada langkah tarif Amerika Syarikat dan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.

Seramai 2,854 petugas media daripada 290 agensi dalam dan luar negara telah berdaftar untuk membuat liputan Sidang Kemuncak Asean ini.

Manakala lebih 10,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 3,000 anggota Jabatan Imigresen Malaysia ditugaskan bagi memastikan kelancaran sidang terbabit. – 24 Oktober, 2025

Topics

 

Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

RM4,000 grant to scrap old car, buy new Proton, Perodua

Under Budget 2026, government and national car makers to provide the grant to ensure better road safety

Related