KUALA LUMPUR – Kementerian Pendirikan akan memastikan kurikulum sejarah kekal relevan dan pada masa sama seimbang serta bebas daripada politik kepartian.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia sememangnya merupakan pendirian kementerian.
“Sememangnya untuk kita memastikan kurikulum sejarah kekal relevan, kita akan pastikan bebas daripada politik kepartian dan ia adalah pendirian daripada KPM,’’ katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA- Muar) yang menyuarakan pandangannya supaya KPM mengambil langkah berhati-hati untuk tidak memasukkan politik kepartian dalam silibus Sejarah.
Syed Saddiq berharap kementerian supaya berjaga-jaga kerana jika lensa sejarah diwarnai politik kepartian ia boleh menyebabkan ibu bapa berasa tidak selesa untuk menghantar anak ke sekolah.
“Dalam kita ingin menyemak kurikulum atau memasukkan input sejarah baharu , saya berharap kementerian sangat berjaga-jaga kerana lensa sejarah kalau diwarnai politik kepartian, walaupun memihak kepada kita, boleh menyebabkan ibu bapa tidak selesa menghantar anak ke sejenis sekolah dan akhirnya menyebabkan negara rugi secara keseluruhan.
“Kalau kita fokus soal keprihatinan rakyat secara am, isu Rukun Negara, saya rasa tidak ada orang yang akan bangkang. Namun jika diselit (politik kepartian), takut ia diperbesarkan dan perkara yang baik akan tercicir,” katanya.
Dalam pada itu, Wong berkata, KPM akan memperkenalkan kurikulum persekolahan baharu secara berperingkat bermula tahun hadapan bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal dinamik dan memenuhi keperluan masa hadapan.
Menurutnya, fasa pengenalan kurikulum baharu itu melibatkan murid tahun dan tingkatan satu pada 2027 sebelum diperluas kepada tahun dan tingkatan dua pada 2028.
“Sesuatu kurikulum itu akan digunakan untuk suatu tempoh masa dan apabila sampai pada tempohnya, maka kita akan memperkenalkan kurikulum bagi persekolahan baharu.
“Semakan kurikulum akan diadakan jika ada keperluan. Maka untuk subjek atau mata pelajaran tertentu, semakan dari segi kurikulum boleh dilakukan dari semasa ke semasa,’’ katanya.
Terdahulu ketika menjawab soalan asal Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat), Wong berkata kementerian telah mengintegrasikan elemen pendidikan kenegaraan dan politik dalam mata pelajaran Sejarah serta Pendidikan Sivik bagi memberi pendedahan awal konsep demokrasi.
Beliau berkata pengukuhan literasi politik turut dilaksanakan melalui kerjasama dengan Akademi Pilihan Raya (APR) bagi memberi pengalaman pembelajaran autentik kepada murid mengenai proses pengundian dan tanggungjawab sebagai pemilih. – 11 Februari, 2026
