KUALA LUMPUR – Penyanyi rap Namewee, telah didakwa dengan dua pertuduhan berkaitan dadah susulan penahanannya pada Oktober lalu
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, Namewee, 42, atau nama sebenarnya Wee Meng Chee ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur, kira-kira jam 4.30 petang pada 22 Oktober lalu.
“Semasa pemeriksaan di bilik tersebut, polis menemui sembilan biji pil berwarna biru disyaki Ecstasy, seberat kira-kira 5.12g,” katanya dalam satu kenyataan.
Namewee kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.
Beliau memberitahu, penyanyi berkenaan didapati positif amphetamine, methamphetamine, ketamine dan THC dalam ujian saringan urin.
“Suspek direman selama dua hari,” katanya.
Fadil memberitahu, penyanyi tersebut kemudian didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur di bawah dua pertuduhan berasingan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 24 Oktober
“Pertuduhan pertama adalah berkaitan pemilikan dadah. Suspek mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan.
“Pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan menggunakan dadah.
“OKT tidak mengaku bersalah dan diberikan jamin mahkamah sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin tempatan,” katanya.
Kes berkenaan ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Disember depan. – 3 November, 2025
