◉ HEADLINES

Madius tempelak kenyataan Anthony Loke tuduh Ewon ‘main wayang’

Presiden UPKO menegaskan peletakan jawatannya daripada Kabinet Persekutuan bukanlah tindakan mencari perhatian seperti didakwa Loke, sebaliknya menunaikan janji berhubung isu tuntutan hasil 40% Sabah

12:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Presiden Kehormat UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menempelak kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menggambarkan peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick daripada Kabinet Persekutuan sebagai ‘main wayang’.

Madius menegaskan keputusan Ewon yang juga Presiden UPKO, melepaskan jawatan adalah selaras dengan janji yang dibuat sebelum ini, iaitu untuk berundur sekiranya Peguam Negara mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan hasil 40% Sabah.

Kekeliruan timbul apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan kerajaan Persekutuan tidak merayu keputusan tersebut, namun pegawai kerajaan mengesahkan Peguam Negara akan tetap merayu sebahagian daripadanya. Tindakan itu dilihat bercanggah dengan kenyataan awal kerajaan.

“Bagaimana boleh dikatakan tidak merayu tetapi hanya sebahagian daripadanya? Sama ada anda merayu atau tidak. Peguam Negara tidak boleh mengambil kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Madius berkata rakyat Sabah menyambut baik tindakan Ewon meletakkan jawatan, yang turut diumum melalui kenyataan rasmi dan bukannya di hadapan khalayak.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tuaran itu turut menjelaskan maksud sebenar ‘main wayang’ yang lebih tepat ditujukan kepada seorang pemimpin yang memberi ucapan separuh benar sambil menunjukkan kepetahan berpidato, seperti yang berlaku ketika pengumuman calon PKR baru-baru ini.

Beliau turut menyindir Perdana Menteri yang seolah melengahkan masa dalam menyelesaikan isu tuntutan hasil 40% Sabah, apabila hanya mengumumkan rundingan sedang dijalankan antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Anwar sebelum ini jelas menyatakan pada sambutan Hari Malaysia di Kuching pada 2023 bahawa tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri adalah melaksanakan janji serta perjanjian yang dibuat oleh pemimpin pengasas ketika pembentukan Malaysia.

Anwar turut berkata: “Beberapa perkara lain yang termaktub saya telah beri jaminan bukan untuk dirunding, tetapi untuk dilaksanakan.”

Madius turut mengingatkan bahawa prosedur pembayaran kepada Sabah dan Sarawak telah digariskan sejak 1963. Malah, Perkara 112C dan Seksyen 2(1) Bahagian IV, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan hak Sabah untuk menerima 40% daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu.

“Justeru tidak sepatutnya berlaku kelewatan dalam mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, kecuali ada pihak tertentu yang terus ‘main wayang’ atas motif yang hanya mereka sendiri tahu,” katanya. – 18 November, 2025

Topics

 

◉ Hangat

79 candidates to fight for 28 seats in Melaka polls

Besides notable incumbents defending their seats such as Melaka CM Datuk Seri Ab Rauf Yusoh and Melaka Pakatan chief Adly Zahari, the Prime Minister’s political secretary Datuk Azman Abidin will contest his maiden election in Paya Rumput

MCA gets four seats in Melaka polls, predicts tough fight in DAP strongholds

Initially given two seats, last-minute negotiations within Barisan Nasional now lands MCA with the staunchly DAP seats of Kota Laksamana and Bandar Hilir

Red Bull’s Acosta wins MotoGP Sprint, Ducati Lenovo’s Marquez second

Third on the podium is Italian rider Marco Bezzecchi of Aprilia Racing

◉ Related