HEADLINES

Kerajaan teliti mekanisme terbaik kawal selia permainan video ‘online’ termasuk Roblox : Fahmi

Kerajaan sedang memantau dan meneliti keperluan untuk melesenkan sekurang-kurangnya 10 jenis permainan dalam talian, termasuk Roblox, yang didapati tidak sesuai untuk kanak-kanak berusia bawah 16 tahun

5:13 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memantau dan meneliti keperluan untuk melesenkan sekurang-kurangnya 10 jenis permainan dalam talian, termasuk Roblox, yang didapati tidak sesuai untuk kanak-kanak berusia bawah 16 tahun.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sedang meneliti mekanisme dan kerangka kawal selia terbaik dan memerlukan sedikit masa sebelum pengumuman rasmi dibuat.

Beliau berkata kementeriannya juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil permainan video dalam talian Roblox, susulan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah akibat dikelar dan ditikam di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat, oleh abangnya baru-baru ini.

“Saya telah bertemu dengan mereka (wakil Roblox) dan mereka agak gementar kerana pada hari pertemuan itu, laporan berita menyatakan seorang kanak-kanak sembilan tahun dipercayai telah mencederakan adiknya berusia enam tahun, dan insiden itu dikaitkan dengan pengaruh Roblox.

“Saya sendiri telah mengharamkan anak saya daripada bermain Roblox dan memadam aplikasi itu daripada semua peranti di rumah.

“Namun, kerajaan belum membuat keputusan rasmi mengenainya. Saya menyeru ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka,” katanya, lapor Bernama.

Semalam, polis tidak menolak kemungkinan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera parah akibat dikelar dan ditikam di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat, telah dicederakan oleh abangnya sendiri berusia sembilan tahun akibat pengaruh permainan video dalam talian.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak demikian selepas berang apabila permainan dalam talian Roblox miliknya terganggu hingga menyebabkan kehilangan kira-kira sejuta mata terkumpul (point) selepas mangsa merosakkan telefon bimbit berkenaan.

Dalam pada itu, Fahmi memberitahu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga akan memanggil penyedia aplikasi OMI dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan susulan laporan kes melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diperlakukan secara tidak senonoh oleh seorang lelaki dewasa selepas berkenalan menerusi aplikasi berkenaan.

“Aplikasi ini perlu diletakkan di bawah kawal selia kerana kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang. MCMC sedang meneliti perkara ini dan difahamkan OMI masih belum termasuk dalam kategori kawal selia,” katanya.

Jelasnya, cabaran utama ketika ini bukan hanya untuk menghalang kanak-kanak bawah umur 16 tahun daripada membuka akaun media sosial, tetapi juga memastikan sistem verifikasi umur dan pengesahan identiti dilaksanakan dengan berkesan.

“Setiap platform seperti Facebook dan TikTok mempunyai mekanisme tersendiri, namun ia masih belum cukup meyakinkan,” katanya. – 30 Oktober, 2025

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Related