KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menasihatkan masyarakat Islam memberi ruang sepenuhnya kepada penguat kuasa agama menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden tular seorang lelaki bersilat di kawasan perkuburan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga fakta sebenar diperoleh.
Menurut Mohd Na’im, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid telah mengarahkan Pejabat Kadi Kluang menyiasat video tular berkenaan untuk memastikan tiada unsur yang bercanggah dengan adab dilakukan di tanah perkuburan.
“Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Exco agama negeri yang mengambil tindakan awal dan pantas untuk mengarahkan Pejabat Agama Daerah Kluang menjalankan siasatan daripada semua sudut.
“Janganlah kita berspekulasi kerana jika siasatan mendapati individu itu mengalami gangguan mental, maka kita perlu merujuknya untuk mendapatkan rawatan dan membaiki diri beliau. Sebab beliau juga anggota masyarakat,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Hijrah 2025 di Dewan Orang Ramai Kampung Felda Air Tawar 2 di Kota Tinggi, hari ini.
Tegas beliau, perbuatan bersilat atau melakukan sesuatu yang tidak wajar di kawasan kubur tidak boleh diterima dalam agama Islam.
“Ziarah kubur adalah disunahkan untuk mengingati mati dan setiap perbuatan di kawasan kubur harus dilakukan dengan menghormati waris serta menepati batas-batas akidah.
“Masyarakat Islam yang tidak pasti mengenai hukum sesuatu perbuatan hendaklah merujuk kepada pihak berilmu dan berautoriti seperti Jabatan Mufti Johor bagi memastikan tindakan mereka tidak melanggar akidah Islam,” katanya.
Dalam laporan media semalam, kerajaan negeri telah mengarahkan Pejabat Kadi daerah Kota Tinggi menyiasat video tular memaparkan seorang lelaki yang melakukan pergerakan seakan-akan bersilat di tanah perkuburan Islam, di sini.
Tujuan siasatan menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, adalah untuk memastikan tiada unsur bercanggah adab dilakukan di tanah perkuburan.
Terdahulu, video berdurasi 28 saat dirakam pengguna jalan raya dan dimuat naik ke media sosial sehingga tular sejak Jumaat, mencetus tanda tanya orang ramai.
Lelaki di dalam video itu dilihat memakai jaket serta bertopi keledar berdiri di kawasan perkuburan sambil melakukan beberapa gerakan tangan dan kaki. – 23 November, 2025
