KUALA LUMPUR – Motif serangan terhadap wartawan sukan dan Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Haresh Deol adalah dipercayai berkaitan isu peribadi.
Ketua Polis Brickfeild, Hoo Chang Hook berkata, suspek lelaki yang ditahan itu, merupakan seorang penganggur dan berusia 37 tahun.
Beliau turut meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi lain dan tunggu sehingga selesai siasatan.
“Suspek penganggur dan motif adalah lebih kepada peribadi.
“Kes masih dalam siasatan polis dan minta semua tidak buat sebarang spekulasi lain dan tunggu selesai siasatan,’’ katanya ringkas.
Terdahulu, Hoo memberitahu, polis telah menahan seorang lelaki dalam kes serangan ke atas Haresh, awal pagi tadi dan ditahan reman selama tiga hari.
Menurutnya, suspek yang berusia 37 tahun itu ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Brickfeild pada jam 2 pagi tadi.
“Permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama tiga hari sehingga 28 November oleh Majistret Kuala Lumpur.
“Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai ugutan jenayah dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Seksyen 323 membawa hukuman penjara sehingga satu tahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 506 membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,’’ katanya.
Pada Selasa, Haresh, yang juga pengasas bersama berita TwentyTwo13, memaklumkan beliau telah diserang ketika menuju ke keretanya manakala seorang lagi individu merakam insiden tersebut menggunakan telefon bimbit.
Menerusi hantaran di media sosial X, Haresh berkata beliau telah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.
Susulan itu, polis telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian itu yang berlaku di Jalan Maarof berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah, ketika Haresh sedang berjalan di kaki lima menuju ke Jalan Telawi. – 26 November, 2025
