PARIS – Lebih banyak syarikat penerbangan di seluruh dunia mengumumkan kelewatan atau pembatalan penerbangan pada Sabtu, susulan amaran Airbus yang mengarahkan pelaksanaan segera kemas kini perisian untuk pesawat siri A320.
Pada Jumaat, Airbus mengarahkan pelanggannya supaya mengambil ‘tindakan berjaga-jaga segera’ selepas menilai kerosakan teknikal dalam satu penerbangan JetBlue pada Oktober, lapor AFP.
“Radiasi suria yang kuat boleh merosakkan data yang kritikal bagi fungsi kawalan penerbangan,” katanya, sambil menambah bahawa “sejumlah besar pesawat keluarga A320 yang sedang beroperasi” mungkin terjejas.
Mengganti perisian akan mengambil masa “beberapa jam” bagi kebanyakan pesawat tetapi bagi kira-kira 1,000 pesawat, proses itu “akan mengambil masa berminggu-minggu,” menurut satu sumber kepada AFP.
Air France memberitahu AFP ia sedang mengira jumlah penerbangan tambahan yang akan dibatalkan pada Sabtu.
“Pelanggan yang terjejas oleh pembatalan akan dimaklumkan secara individu melalui SMS dan e-mel,” kata seorang jurucakap pada Jumaat.
Syarikat itu membatalkan 35 penerbangan pada Jumaat, manakala syarikat penerbangan Colombia Avianca berkata 70 peratus pesawatnya terjejas oleh isu teknikal dalam perisian buatan syarikat Eropah itu.
Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) berkata dalam satu kenyataan Airbus telah memaklumkan mengenai isu itu.
“Tindakan ini mungkin menyebabkan gangguan jangka pendek kepada jadual penerbangan dan seterusnya menyusahkan penumpang,” kata EASA, sambil menambah “keselamatan adalah keutamaan.”
Syarikat aeroangkasa dan pertahanan Thales memberitahu AFP ia adalah pengeluar komputer kawalan penerbangan, yang dikatakannya “mematuhi sepenuhnya spesifikasi teknikal yang dikeluarkan Airbus” dan diperakui oleh EASA dan badan pengawal selia AS, FAA.
Namun ia menambah: “Fungsi yang dipersoalkan ini disokong oleh perisian yang bukan di bawah tanggungjawab Thales.”
Kenyataan Airbus tidak menyatakan syarikat mana yang membangunkan perisian tersebut.
“Airbus mengakui saranan ini akan menyebabkan gangguan operasi kepada penumpang dan pelanggan,” katanya sambil memohon maaf atas kesulitan tersebut.
Pada 30 Oktober, sebuah pesawat A320 yang dikendalikan JetBlue berdepan masalah kawalan penerbangan disebabkan kerosakan komputer.
Pesawat itu secara tiba-tiba menjunam ketika dalam penerbangan antara Cancun di Mexico dan Newark di Amerika Syarikat, dan juruterbang terpaksa mendarat di Tampa, Florida.
Media AS memetik anggota bomba tempatan sebagai berkata beberapa penumpang cedera.
Ketika dihubungi AFP, JetBlue tidak mengulas mengenai insiden itu tetapi berkata ia telah pun memulakan kerja-kerja naik taraf pada beberapa model A320 dan A321.
Pesaingnya, American Airlines, berkata ia telah pun memulakan kemas kini perisian susulan amaran pada Jumaat dan menjangkakan “sebahagian besar” kira-kira 340 pesawat terjejas akan diselenggara menjelang Sabtu. Ia menambah “beberapa kelewatan” akan berlaku.
Manakala United Airlines berkata ia telah mengenal pasti enam pesawat terjejas dan menjangkakan gangguan kecil pada beberapa penerbangan.
Delta Air Lines pula menjangkakan kerja kemas kini selesai menjelang pagi Sabtu.
Air India pula memberi amaran mengenai kelewatan, manakala Avianca menjangkakan mengenai “gangguan ketara dalam tempoh 10 hari akan datang.”
Di Filipina, syarikat penerbangan tempatan Philippine Airlines dan Cebu Pacific menawarkan pemulangan wang atau tiket baharu selepas membatalkan sekurang-kurangnya 40 penerbangan domestik pada Sabtu.
Dikeluarkan sejak 1988, A320 adalah pesawat paling laris di dunia. Airbus menjual 12,257 pesawat itu sehingga akhir September berbanding Boeing 737 yang mencatat penjualan 12,254 unit. – 29 November, 2025
