HEADLINES

1MDB: AS pertimbang ekstradisi Tim Leissner ke Malaysia – AGC

Malaysia telah mengambil tindakan susulan termasuk mengemukakan maklumat tambahan yang diminta AS

12:45 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbangkan permintaan ekstradisi Malaysia terhadap bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner, berkaitan peranannya dalam skandal 1MDB, kata Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam kenyataannya, AGC berkata, permintaan ekstradisi itu dibuat pada 14 Ogos 2024.

Malaysia juga, katanya, telah mengambil tindakan susulan termasuk mengemukakan maklumat tambahan yang diminta oleh pihak AS.

“Sejak 2023, apabila Roger Ng dikembalikan kepada penyiasat Malaysia selepas dibicarakan dan disabitkan kesalahan di Amerika Syarikat, terdapat maklumat baharu yang ditemukan.

“Malaysia terus berusaha untuk mendapatkan dokumen-dokumen yang tidak pernah diperoleh sebelumnya dan individu, termasuk Tim Leissner, yang tidak pernah dibicarakan dalam sistem keadilan Malaysia,’’ katanya.

Menurut AGC, sehingga hari ini, Malaysia mengalami bukan sahaja kesan implikasi kewangan yang berterusan, tetapi juga kerugian yang tidak dapat dipulihkan sehingga usaha giat itu selesai sepenuhnya.

Justeru, Malaysia, tegas AGC, tidak akan berputus asa dalam mendapatkan pemulihan yang adil dan wajar daripada perbankan gergasi global dan semua yang bersekongkol dalam perlakuan jenayah ini.

“Rata-rata masyarakat di Malaysia mempunyai kebimbangan yang mendalam tentang peranan yang dimainkan oleh Goldman Sachs dalam salah satu skim penipuan terbesar dalam sejarah moden, yang menyesarkan rakyat Malaysia sebagai mangsa utamanya,’’ kata AGC.

Pada Mei 2025, Leissner dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah di New York atas peranannya dalam skandal membabitkan 1MDB.

Pihak berkuasa Malaysia dan Amerika Syarikat menganggarkan sebanyak AS$4.5 bilion diseleweng daripada 1MDB menerusi satu skim rumit merentas beberapa negara.

Leissner, yang pernah memegang jawatan sebagai pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara, mengaku bersalah pada 2018 atas tuduhan bersubahat melanggar Akta Amalan Rasuah Luar Negara (FCPA) serta bersubahat dalam pengubahan wang haram berkaitan skandal terbabit.

Sementara Ng, satu-satunya pegawai kewangan Goldman Sachs yang dibicarakan di Amerika Syarikat berhubung penipuan itu, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun selepas disabitkan oleh juri persekutuan di Brooklyn, New York, pada 2022.

Amerika Syarikat kemudian membenarkan beliau pulang ke Malaysia pada 2023 untuk membantu siasatan pihak berkuasa negara ini, walaupun beliau sepatutnya mula menjalani hukuman penjara. – 12 Disember, 2025

Topics

 

Hangat

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Related