KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia akan menawarkan biasiswa untuk lima rakyat Palestin yang berada di negara ini bagi membantu mereka membina semula infrastruktur komunikasi Palestin yang musnah di negara itu.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, banyak pengajaran yang boleh mereka pelajari dari Malaysia terutama dalam aspek komunikasi dan pelaksanaan rangkaian 5G.
“MCMC akan bekerjasama dengan kedutaan Palestin di Kuala Lumpur untuk mengenal pasti sejumlah calon bagi tujuan memberikan biasiswa untuk kejuruteraan rangkaian atau Kejuruteraan di Malaysia,’’ katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Biasiswa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Pada majlis berkenaan, seramai 25 pelajar cemerlang menerima biasiswa MCMC LEGASI dan MCMC CARE dengan semua penerima biasiswa akan didedahkan kepada bidang seperti pembangunan peraturan, infrastruktur digital, inovasi dasar dan keselamatan rangkaian.
Mereka juga akan menerima latihan dan pensijilan dalam pelbagai kemahiran sebagai persediaan untuk memimpin sektor ini sejurus tamat pengajian.
Biasiswa MCMC LEGASI ditawarkan kepada lima pelajar berprestasi tinggi untuk melanjutkan pengajian di dalam atau luar negara manakala biasiswa MCMC CARE pula ditawarkan kepada 20 orang pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian di universiti awam tempatan.
Proses pemilihan penerima biasiswa telah dijalankan dengan teliti dan melibatkan 907 permohonan iaitu 588 bagi program LEGASI dan 319 bagi program CARE.
Calon-calon melalui beberapa peringkat temu duga termasuk penilaian akademik, keperluan kewangan, ujian psikometrik serta temu duga terakhir oleh jawatankuasa bebas yang terdiri daripada pegawai MCMC dan ahli akademik.
Pemilihan turut memastikan wakil dari Sabah dan Sarawak diberikan peluang.
Kedua-dua biasiswa ini menyediakan pembiayaan penuh serta pendedahan industri secara berstruktur bagi melengkapkan bakat muda Malaysia dengan kemahiran dalam bidang pengajian seperti telekomunikasi, media, dasar pengawalseliaan, keselamatan siber dan Internet of Things (IoT). – 16 Disember, 2025
