HEADLINES

Anak Bung Moktar diumum calon PRK Parlimen Kinabatangan

Naim berkata ia bukan hanya sekadar mandat parti, tetapi sekali gus membawa tuntutan pembelaan daripada seluruh rakyat di Kinabatangan

8:28 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Anak Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin iaitu Naim Kurniawan Moktar telah diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan.

Perkara berkenaan dikongsi oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi hantaran di Facebooknya.

“Calon BN untuk kawasan Parlimen Kinabatangan telah diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Majlis Makan BN di Hotel Premiera iaitu saudara Naim Kurniawan Moktar (anak Allahyarham Bung Moktar Radin).

“Diyakini beliau diterima baik oleh rakyat di sana,’’ katanya.

Sementara itu, Naim menerusi hantaran di Facebooknya menzahirkan terima kasih kepada Zahid selaku pengerusi BN di atas kepercayaan dan amanah yang diberikan sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Kinabatangan.

“Ini bukan hanya sekadar mandat parti, tetapi sekali gus membawa tuntutan pembelaan daripada seluruh rakyat di Kinabatangan.

“Alangkah sempurnanya jika “moment” ini disaksikan oleh bapa saya. Namun Allah lebih mengetahui apa yang terbaik,’’ katanya.

Kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kosong susulan kematian penyandangnya Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, pada 5 Disember lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Jan 2026, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Jan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 lalu, Bung Moktar, 66, mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Kerusi DUN Lamag dipertandingkan buat pertama kali semasa PRN ke-16 pada 2020.

Manakala pada Pilihan Raya Umum Ke-10 iaitu pada November 1999, Bung Moktar memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal. – 20 Disember, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related