KUALA LUMPUR – Proses dan prosedur kerajaan di semua peringkat harus dipermudahkan serta diselaraskan supaya peniaga Malaysia dapat beroperasi dengan jelas tanpa kekeliruan atau tafsiran peraturan yang pelbagai , kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
Beliau merujuk kepada penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan bahawa hiasan bertemakan sambutan Hari Natal tidak melanggar syarat pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurut Sim, penjelasan itu wajar dihormati dan dijadikan panduan bersama agar pelaksanaan di lapangan konsisten serta tidak mengelirukan.
“Kini tiba masanya kita memastikan perniagaan Malaysia dapat terus maju tanpa mengira kaum, agama, negeri dan wilayah, termasuk dalam sektor makanan dan hotel yang melibatkan banyak PMKS Malaysia
“Ini merupakan sebahagian Strategi ABCD yang dilaksana oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) merangkumi Anjakan produktiviti, Birokrasi dipermudahkan, Capaian modal dan Daya akses pasaran,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Hasan berkata tiada larangan terhadap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk menggunakan imej, ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan agama selain Islam, asalkan ia tidak menjejaskan prinsip halalan toyyiban.
Menurut Zulkifl, ia merujuk kepada keputusan yang telah dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2023.
Beliau berkata, dekorasi, imej, hiasan, ilustrasi dengan perayaan selain daripada agama Islam pada produk makanan yang bersifat tidak kekal adalah dibenarkan.
Selain itu, ujar Zulkifli, penggunaan peralatan sembahan adalah tidak dibenarkan dan dekorasi serta hiasan premis tidak melibatkan paparan SPHM dan imej Logo Halal SPHM.
“Keputusan ini adalah terpakai kepada isu dekorasi hiasan perayaan selain Islam di bahagian dapur atau outlet hotel yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM),’’ katanya. – 20 Disember, 2025

