KUALA LUMPUR – Tindakan Pemuda Umno Selangor berkumpul di hadapan Pusat Khidmat Parlimen Puchong disifatkan sebagai mencerminkan politik murahan yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.
Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor dalam kenyataannya berkata, corak politik itu selari dengan gaya kepimpinan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, yang dilihat lebih gemar mencetuskan gimik dan emosi awam berbanding menawarkan solusi sebenar terhadap isu rakyat.
Sambil menyatakan ia akan terus berdiri teguh dan menunjukkan solidariti terhadap Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, DAPSY Selangor berkata budaya berhimpun beramai-ramai semata-mata untuk mencipta provokasi dan sensasi bukanlah politik matang.
Ia sebaliknya memperlihatkan kegagalan untuk berhujah secara intelektual dan berfakta.
“Jika satu komen atau kenyataan dianggap terlalu sensitif sehingga memerlukan tekanan fizikal dan demonstrasi berkumpulan, maka Pemuda Umno Selangor wajar bermuhasabah dan melihat kembali realiti tahun 2022.
“Ketika Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan, terdapat ribuan reaksi dan posting di media sosial termasuk yang bersifat sinikal serta meraikan keputusan tersebut.
“Adakah semua individu itu juga wajar dijadikan sasaran gimik politik dan tekanan awam,’’ soal DAPSY Selangor dalam kenyataan.
Pada Selasa, Pemuda Umno Selangor telah berkumpul di hadapan Pusat Khidmat Parlimen Puchong bagi menggesa Yeo Bee Yin memohon maaf dan menarik balik hantaran media sosialnya yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sambil memberi amaran Umno Puchong akan menarik balik kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat bahagian sekiranya tiada tindakan diambil.
Ketua Pemuda Umno Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin, berkata hantaran tersebut bersifat provokatif dan mencampuri urusan dalaman Umno, khususnya perkara berkaitan Najib, yang menurutnya tidak sepatutnya dijadikan bahan ulasan politik oleh pemimpin daripada parti lain.
Ia susulan kenyataan Yeo Bee Yin yang secara terbuka meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap keputusan ke atas Najib melibatkan Titah Adendeum, hingga mencetuskan kemarahan pemimpin Umno yang menyifatkan ia sebagai tidak wajar, biadap dan mencerminkan keangkuhan politik serta tidak sensitif.
Menurut DAPSY Selangor, politik tidak seharusnya digerakkan melalui intimidasi, provokasi atau demonstrasi terpilih dan jika ingin mempertahankan maruah politik serta institusi negara maka ia perlu dilakukan melalui hujah yang matang, dasar yang jelas dan saluran demokratik yang beradab.
“Rakyat Selangor tidak memerlukan sandiwara politik. Rakyat menuntut kepimpinan yang matang, berfikir dan bekerja demi masa depan negara.
“Sebarang cubaan intimidasi politik, tekanan berkumpulan atau gimik murahan tidak akan melemahkan prinsip perjuangan kami dalam mempertahankan politik berfakta, beradab dan berteraskan kepentingan rakyat,’’ katanya. – 24 Disember, 2025

