KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi memutuskan surat-surat derma Arab yang dijadikan sandaran oleh pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu adalah ‘palsu’.
Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika membacakan keputusan berkata, surat berkenaan tidak pernah dikemukakan dalam bentuk asal di hadapan mahkamah.
“Surat-surat asal tidak pernah dikemukakan,” kata hakim ketika membacakan dapatan mahkamah dalam kes penyelewengan RM2.3 billion dana 1MDB.
Collin juga memutuskan tiada sebarang pengesahan dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu bagi memastikan dana yang diterimanya adalah benar-benar daripada pemerintah Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah.
“Tertuduh menyandarkan kepercayaannya kepada lingkungan lebih luas dalam keluarga diraja.
“Cara ia disalurkan adalah sepenuhnya terserah kepada Raja Abdullah… perkara ini tidak mengukuhkan pembelaan,” tambah hakim.
Jejak transaksi, kata Hakim menunjukkan dana berkenaan disalurkan melalui syarikat swasta pihak ketiga Vista Equity, Blackstone dan Tanore, entiti yang dimiliki ahli kewangan buruan Eric Tan.
Beliau membacakan keputusan bagi empat pertuduhan salah guna kedudukan kes 1MDB yang dihadap Najib pada prosiding yang bermula pada jam 9.13 pagi tadi.
Setakat pukul 11.45 pagi berdasarkan penghakiman yang dibaca Hakim, mahkamah berpuas hati bahawa empat pertuduhan salah guna kuasa yang dihadapi Najib tidak kabur, catat atau bertindih antara satu sama lain.
Terdahulu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memohon kepada kepada mahkamah untuk berehat sebentar.
Shafee bertanya berapa lama prosiding akan berlangsung memandangkan anak guamnya perlu kembali ke Penjara Kajang untuk menunaikan solat Jumaat.
Selepas membaca penghakiman kes hampir tiga jam, Collin kemudiannya menangguhkan sementara keputusan ke atas Najib dan menetapkan jam 3 petang bagi menyambung penghakiman, iaitu selepas solat Jumaat.
“Saya masih memerlukan masa selama satu jam untuk membaca baki keputusan berkenaan,” katanya.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, Datuk Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Deepa Nair Thevaharan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.
Sementara pembelaan bagi Najib diwakili peguam-peguam antaranya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Wan Mohammad Arfan Wan Othman dan Effa Azuin.
Dalam pada itu, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, turut hadir dan mengenakan baju kurung berwarna merah jambu serta selendang merah jambu sedondon.
Najib, 72, kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang berhubung kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Selepas perbicaraan selama 302 hari yang berlangsung dalam tempoh tujuh tahun, Mahkamah Tinggi hari ini akan keputusan terhadap Najib berhubung kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Perbicaraan berprofil tinggi itu menarik perhatian antarabangsa dan melibatkan 50 saksi serta sembilan hari hujahan lisan.
Antara saksi utama pembelaan ialah bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin, adinda Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud, serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom. – 26 Disember, 2025

