HEADLINES

Beberapa individu lain disyaki turut terbabit kes rasuah libat pegawai kanan Tentera Darat: SPRM

SPRM masih belum mengambil sepenuhnya keterangan daripada individu utama memandangkan dia masih menerima rawatan perubatan

7:49 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti individu lain yang disyaki terbabit dalam siasatan kes rasuah melibatkan seorang pegawai kanan Tentera Darat, membabitkan beberapa projek tender perolehan Tentera Darat.

Pendedahan SPRM menerusi TikTok rasminya juga memberitahu, individu utama yang disyaki terlibat masih menerima rawatan perubatan justeru keterangan individu berkenaan masih belum diambil sepenuhnya.

“SPRM menghormati aspek kesihatan serta hak individu tersebut selaras dengan prinsip undang-undang dan akan mengambil keterangan sebaik sahaja beliau disahkan sihat oleh pihak perubatan,’’ katanya.

Ia juga memaklumkan bahawa tiada tempoh masa tetap ditetapkan bagi setiap fasa siasatan sementara tempoh siasatan bergantung kepada kerumitan kes, jumlah saksi, serta keperluan analisis dokumen dan kewangan.

“Selain suspek utama, SPRM telah mengenal pasti beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini, dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperoleh,’’ katanya.

Dalam pada itu, SPRM mengesahkan tindakan pengesanan dan sekatan aset sedang dijalankan namun jumlah nilai aset atau akaun bank tidak didedahkan kepada media buat masa ini memandangkan proses siasatan masih berjalan dan tidak semua aset telah dibekukan sepenuhnya.

SPRM juga menegaskan siasatan ini dijalankan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang, tanpa sebarang campur tangan.

“SPRM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat,’’ katanya.

Pada 29 Disember lalu, SPRM telah menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan perolehan projek Tentera Darat Malaysia.

SPRM juga telah menggeledah pejabat Tentera Darat di Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan kediaman rasmi suspek dari 5 petang hingga 12 tengah malam pada 27 Disember lepas.

Sementara pegawai kanan tersebut sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada 28 Disember 2025, namun beliau telah dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada tarikh berkenaan. – 2 Januari, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related