HEADLINES

Muhyiddin sudah ‘hilang kawalan’ parti perlu reformasi segera: Saifuddin

1:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin telah ‘hilang kawalan’ dan Bersatu berisiko kehilangan hala tuju sekiranya parti itu tidak menjalankan reformasi dengan segera, kata Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau yang dipecat daripada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menekankan bahawa kekurangan hala tuju dasar yang jelas di bawah Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu merupakan masalah utama.

Ketika bercakap dalam podcast Trick Lama bersama Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (lebih dikenali sebagai Rocky Bru) dan Ketua Pengarang Kumpulan, Terence Fernandez, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu menggambarkan secara jelas cabaran yang dihadapi Perikatan Nasional (PN) dan krisis kepimpinan dalaman Bersatu.

“Beliau adalah Perdana Menteri yang sangat baik, dan saya akan mempertahankan beliau serta legasinya.

“Tetapi untuk memimpin Bersatu hari ini, kita memerlukan seseorang yang lain, kerana beliau telah hilang kawalan. Ini bukan perkara peribadi, tetapi parti memerlukan kepimpinan yang mampu menetapkan dasar dan memberikan visi untuk masa depan,” tegas Saifuddin.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah – Gambar Scoop, 12 Januari, 2026

Menurut Saifuddin, jika parti itu mahu menang pilihan raya akan datang, ia mesti memberikan tawaran yang paling sesuai kepada rakyat.

“Kita mesti menyediakan tawaran yang paling sesuai. Tetapi ini bukan sekadar untuk menang pilihan raya sebaliknya kita mahu membentuk kerajaan yang lebih baik daripada kerajaan hari ini. 

“Masalah ekonomi, dasar sosial, semua ini memerlukan hala tuju yang jelas malangnya Tan Sri belum membentangkan idea-idea ini,” tambahnya.

Saifuddin turut mendedahkan perbincangan mengenai pelan menyerahkan kepimpinan Bersatu kepada Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Ada perbincangan semasa pertemuan awal parti. Saya mencadangkan bahawa untuk pilihan raya akan datang, persaingan untuk jawatan presiden harus terbuka, dan calon terbaik akan menang. Muhyiddin akhirnya bersetuju dengan pelan penggantian itu dan menamakan Hamzah sebagai calon pengganti berpotensi,” katanya.

Dalam program berkenaan, Saifuddin dengan keras mengkritik apa yang digambarkannya sebagai kecenderungan autokratik yang semakin meningkat dalam Bersatu, menekankan bagaimana proses membuat keputusan dalaman dan pengurusan perbezaan pendapat telah menjejaskan perpaduan parti.

“Sebelum mesyuarat agung tahunan (AGM) yang terbaru, tiada elemen yang membuatkan anda mengatakan parti ini bersikap diktator. Tetapi selepas kejadian tersebut, perkataan ‘diktator’ atau ‘autokratik’ terlintas di fikiran. Insiden sebelum, semasa, dan selepas AGM terbaru menunjukkan bahawa parti ini telah menjadi lebih tertumpu dalam membuat keputusan,” kata Saifuddin.

Bekas Menteri Komunikasi itu menekankan bahawa penyelesaian isu kepimpinan adalah penting untuk masa depan parti.

“Jika (isu) presiden tidak diselesaikan, mungkin perpaduan Bersatu akan terancam. Seseorang yang memegang semua kuasa boleh menyebabkan ketidakstabilan. Parti memerlukan kepimpinan yang kuat dan pelan pewarisan yang jelas,” katanya.

Saifuddin telah dipecat secara rasmi daripada Bersatu pada 6 Januari, selepas Lembaga Disiplin Bersatu mendapati beliau bersalah melanggar perlembagaan parti dan kod etika.

Menerusi surat yang dikirim melalui aplikasi Whatsapp, Saifuddin dipecat hak keahlian dalam parti kerana tindakannya melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan parti.

Beliau adalah antara tujuh pemimpin parti yang dipecat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Wan Saiful Wan Jan serta beberapa Ketua Bahagian Bersatu, susulan ketegangan yang meningkat mengenai kepimpinan dan hala tuju parti di bawah Muhyiddin. – 12 Januari,  2026

Topics

 

Popular

Kuala Lumpur location for Marvel superhero film Thunderbolts

Florence Pugh was in Malaysia and shot scenes in Medan Pasar, Merdeka 118

One last time: More than 75,000 fans pack Bukit Jalil for Thalapathy Vijay’s Jana Nayagan audio launch

An emotional, star-studded night unfolded at the National Stadium Bukit Jalil as scores of fans gathered to see their idol Thalapathy Vijay before his full-time entry into politics

FAM’s ‘personal capacity’ defence is an insult to Malaysian football’s intelligence — Sandru Narayanan

By doubling down on the excuse that a suspended official was attending a FIFA event “in a personal capacity,” the Football Association of Malaysia has once again proven that it still doesn’t understand how accountability or optics actually work

Related