KUALA LUMPUR — Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, menggesa institusi agama agar berani melaksanakan sistem blockchain bagi memastikan ketelusan radikal dalam pengurusan dana masjid.
Dalam podcast Scoop Insight bertajuk ‘RM230 Juta: Amanah atau Khianat’, baru-baru ini beliau mendedahkan sudah ada tiga negeri yang menjalankan projek rintis bersama syarikat swasta, namun birokrasi di peringkat daerah masih menjadi penghalang.
“Efek daripada sistem blockchain tu sangat menarik… tetapi bila dicadang untuk streamline di satu daerah, daerah itu refuse. Negeri dah buat, kami daerah tak payah buat,” katanya.

QR code ada, ketelusan tiada
Jais menegaskan bahawa masjid kini sudah menggunakan QR code untuk kutipan derma, malah ada papan tanda perbelanjaan bulanan. Namun, maklumat kutipan sebenar masih tidak diumumkan secara terbuka.
“Kenapa dia tak nak isytiharkan dalam WhatsApp grup tu? Kutipan bulan ini berapa ribu, berapa digunakan, berapa disimpan. Di situ masih lagi ada tanda soal,” ujarnya.
Beliau menambah, blockchain tidak semestinya kompleks — cukup dengan sistem ringkas yang membolehkan data kutipan dan perbelanjaan dipaparkan secara real time.

Teladan Khalifah Umar
Mengaitkan isu ketelusan dengan sejarah Islam, Jais mengingatkan bahawa Khalifah Umar Al-Khattab sendiri pernah berkata: “Jika aku tersilap, betulkan aku.”
“Kita sering merasa bila nak telus ni, seolah-olah orang agama ni teruk sangat. Tapi kita kena ingat, sistem check and balance itu adalah amanah,” katanya.
Rasuah kritikal: Kanser tahap 4
Dalam perbincangan sama, Jais menyifatkan rasuah di Malaysia sudah sampai tahap kritikal.
“Rasuah ataupun salah guna kuasa ini dah sampai kanser tahap 4. Orang tanya saya bolehkah dihapuskan? Saya kata boleh… masanya ialah apabila matahari terbit dari barat. Maksudnya kita dah teruk sangat,” katanya sinis.
Beliau menegaskan bahawa budaya integriti mesti dibina sejak kecil, dengan ibu bapa menjadi teladan, bukan sekadar menyalahkan guru atau institusi pendidikan.
Media terdahulu melaporkan penyelewengan berjumlah kira-kira RM230 juta membabitkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu tidak membabitkan sumber dana daripada badan zakat, sebaliknya diseleweng daripada sumbangan yang diberikan pelbagai pihak dan sumber kepada pertubuhan berkenaan.
Sebahagian daripada sumbangan yang diseleweng itu dipercayai termasuk kutipan yang sepatutnya disalurkan kepada badan zakat sebuah negeri. – 19 Mei, 2026

