HEADLINES

[TONTON] Hadkan tempoh jawatan Perdana Menteri ‘kunci’ elak salah guna kuasa: Saifuddin

Saifuddin berkata dengan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, ia dapat mengelakkan salah guna kuasa, rasuah dan nepotisme

5:24 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas ahli Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyatakan sokongan kuat terhadap usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sambil menegaskan langkah itu penting bagi membendung rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa, selain memastikan pembaharuan dalam pentadbiran negara.

Beliau menyatakan demikian susulan laporan bahawa kerajaan dijangka membentangkan Rang Undang-Undang di Parlimen bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal penuh, atau 10 tahun.

Ia merupakan sebahagian daripada pakej pembaharuan institusi yang dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen ini.

Ketika bercakap dalam podcast Trick Lama bersama Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (lebih dikenali sebagai Rocky Bru) dan Ketua Pengarang Kumpulan, Terence Fernandez, Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, had tempoh jawatan adalah soal prinsip dan kebertanggungjawaban demokrasi.

“Saya sentiasa percaya bahawa kita perlu menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri. Ia merupakan sebahagian daripada manifesto kami pada Pilihan Raya Umum 2018. Namun walaupun ia tidak terkandung dalam manifesto, saya tetap percaya kepadanya.

“Kita pernah mempunyai seseorang yang berkuasa lebih daripada 20 tahun. Banyak negara yang mengamalkan demokrasi telah belajar daripada sejarah dan mula merangka hala tuju baharu, termasuk meminda perlembagaan dan menetapkan had penggal bagi presiden atau perdana menteri.

“Semakin lama seseorang itu memegang jawatan, semakin tinggi risiko rasuah, kronisme dan nepotisme. Had penggal adalah cara praktikal untuk memastikan kebertanggungjawaban,’’ ujarnya.

Saifuddin turut menyentuh isu Perdana Menteri ‘lame duck’ yang sering dijadikan hujah menentang had tempoh jawatan.

“Ada yang mengatakan bahawa pada penggal kedua, seorang Perdana Menteri menjadi ‘lame duck’. Tetapi hakikatnya, semua orang akhirnya menjadi ‘lame duck’ kerana pilihan raya diadakan setiap lima tahun. Apa yang penting ialah mengehadkan faktor yang boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa, kronisme dan nepotisme,’’ tegas beliau.

‘Lame Duck’ bermaksud pemimpin atau pegawai yang masih memegang jawatan tetapi kuasa, pengaruh atau keberkesanannya sudah semakin lemah.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyifatkan dengan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, ia dapat mengelakkan salah guna kuasa, rasuah dan nepotisme. – Gambar Scoop, 14 Januari, 2026

Bekas Menteri Komunikasi itu menegaskan bahawa pembaharuan kepimpinan dan kebertanggungjawaban harus diutamakan berbanding tokoh politik individu, dan perlindungan institusi adalah lebih penting daripada personaliti.

“Walaupun melangkaui janji manifesto, saya percaya had penggal menyediakan rangka kerja untuk memastikan kepimpinan bertanggungjawab, mencegah kemerosotan, dan memastikan kuasa tidak tertumpu tanpa had di tangan seorang individu.

“Ia bukan soal menyasarkan sesiapa secara peribadi. Ia soal sistem, bukan individu.”

Saifuddin menambah bahawa memberi ruang kepada kemunculan pemimpin baharu adalah penting bagi mengukuhkan institusi demokrasi Malaysia dan mengekalkan kepercayaan rakyat.

“Anda perlu memberi peluang kepada pemimpin baharu, idea segar, serta memastikan mekanisme semak dan imbang berfungsi dengan berkesan. Jika tidak, sistem akan mudah terdedah kepada penyalahgunaan.”

Untuk rekod, Saifuddin telah dipecat secara rasmi daripada Bersatu pada 6 Januari, selepas Lembaga Disiplin Bersatu mendapati beliau bersalah melanggar perlembagaan parti dan kod etika.

Menerusi surat yang dikirim melalui aplikasi Whatsapp, Saifuddin dipecat hak keahlian dalam parti kerana tindakannya melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan parti.

Beliau adalah antara tujuh pemimpin parti yang dipecat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Wan Saiful Wan Jan serta beberapa Ketua Bahagian Bersatu, susulan ketegangan yang meningkat mengenai kepimpinan dan hala tuju parti di bawah Muhyiddin. – 14 Januari, 2026

Topics

 

Popular

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

FAM dismisses talk of Nacho Mendez joining Harimau Malaya

FAM says it is not pursuing any process involving Mendez and has dismissed speculation linking the Spanish-born player to Harimau Malaya

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related