KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar telah merekodkan pencapaian hebat di negeri berkenaan dan berjaya memenangi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Justeru Tuan Ibrahim menyifatkan pandangan menantu Presiden PAS, Zaharudin Muhammad yang juga Ketua PAS Sungai Buloh bahawa PAS bakal kehilangan 37 kerusi Parlimen sekiranya Samsuri menerajui Perikatan Nasional (PN) adalah pandangan peribadi yang tersasar dari realiti.
“Saya rasa pandangan peribadi beliau itu tersasar daripada realiti. Kita lihat rekod pencapaian PAS. Kalau dengan sebab Dr Samsuri pegang (jawatan Pengerusi PN) maka kita merosot, saya rasa ia bukan realiti apa yang berlaku.
“Sebab kita lihat pencapaian pentadbiran kerajaan Terengganu pada zaman beliau bersama dengan PAS berjaya memenangi semua kerusi DUN, semua Parlimen.
“Ini satu pencapaian yang hebat,’’ katanya pada sidang media selepas program Malam Cinta Gaza malam tadi.

Baru-baru ini, Zaharudin Muhammad yang juga Ketua PAS Sungai Buloh mendakwa parti itu bakal kehilangan 37 kerusi Parlimen sekiranya Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerajui Perikatan Nasional (PN).
Menurut menantu Tan Sri Abdul Hadi Awang, dapatan itu diperoleh daripada data dalaman yang dilaksanakan oleh parti berkenaan, namun Zaharuddin enggan mendedahkan data berkaitan.
“Disebabkan saya tak boleh dedah data dan realiti, maka saya boleh simpulkan jika Dr Sam (Ahmad Samsuri) jadi pengerusi PN ganti Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya cukup bimbang berdasarkan data yang ada pada saya, PAS akan hilang 37 kerusi Parlimen dengan tiga senario dan kondisi yang bakal berlaku,’’ katanya, lapor BH.
Kekosongan jawatan Pengerusi PN berlaku susulan pengumuman Muhyiddin untuk meletak jawatan, berkuat kuasa 1 Januari 2026, selepas lebih lima tahun memimpin gabungan itu.
Pengunduran Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu turut disertai beberapa pemimpin Bersatu lain.
Mereka ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melepaskan jawatan Setiausaha Agung PN dan pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN Perak) dan Mohamad Hanifah Abu Baker (Pengerusi PN Negeri Sembilan).
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, semua orang bebas memberikan pandangan namun apa yang penting ialah komitmen kepada PN.
“Yang penting bila pemimpin tertinggi setiap parti buat keputusan, kita dokong keputusan itu,’’ katanya. – 16 Janu

