◉ HEADLINES

Kerajaan Selangor batal projek ternakan babi Bukit Tagar

Menteri Besar sahkan projek ditangguh selepas bantahan keras orang ramai, dengan lokasi baharu sedang dikenal pasti

1:49 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor membatal dan menangguhkan projek penternakan babi di Bukit Tagar berikutan bantahan masyarakat, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat bagi memberi ruang mencari lokasi baharu serta mengadakan perbincangan dengan pengusaha ternakan, selain menjelaskan salah faham yang timbul.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ada hubungi saya ketika saya berada di luar negara. Isu ini sudah melampaui hal sebenar, jadi kita tangguh dan batalkan buat sementara sehingga ada pilihan tapak atau kaedah lain,” katanya selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 di Dewan Raja Muda Musa, hari ini.

Amirudin berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah mengarahkan Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim, mencari kawasan alternatif bagi projek berkenaan.

“Pada hari Rabu lepas, MMKN memang telah memberikan arahan untuk mencari kawasan lain kerana kita lihat ada bantahan keras, kemudian diikuti cadangan Perdana Menteri yang saya sambut baik,” ujarnya.

Menurut beliau, projek itu masih di peringkat awal tanpa kertas kerja atau kelulusan rasmi, namun persepsi awam bahawa ia akan dilaksanakan segera telah menimbulkan kekeliruan.

“Isu ini pramatang. Penglibatan masyarakat, penilaian impak sosial (SIA) dan proses lain sepatutnya dibuat terlebih dahulu. Kita akui mungkin ada pengumuman yang mendahului proses sepatutnya,” katanya.

Amirudin turut menafikan dakwaan sinis bahawa projek di Bukit Tagar akan dibangunkan seperti “hotel babi”, sambil menegaskan kerajaan negeri tidak bercadang melaksanakan projek berskala besar.

“Bukan mega, bukan besar-besaran. Anggaran hanya sekitar 20 hingga 30 peratus keperluan. Dakwaan ‘mega’ itu berlebihan,” katanya, menambah matlamat utama ialah menyusun semula penternakan babi yang berselerak bagi mengawal isu kebersihan dan alam sekitar.

Pada 10 Januari lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan rancangan kerajaan negeri membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Jumaat lalu, Perdana Menteri turut mengesyorkan agar projek berpusat di Bukit Tagar dibatalkan terlebih dahulu atau dipindahkan ke kawasan baharu yang lebih sesuai. – 26 Januari, 2026

Topics

 

◉ Hangat

79 candidates to fight for 28 seats in Melaka polls

Besides notable incumbents defending their seats such as Melaka CM Datuk Seri Ab Rauf Yusoh and Melaka Pakatan chief Adly Zahari, the Prime Minister’s political secretary Datuk Azman Abidin will contest his maiden election in Paya Rumput

MCA gets four seats in Melaka polls, predicts tough fight in DAP strongholds

Initially given two seats, last-minute negotiations within Barisan Nasional now lands MCA with the staunchly DAP seats of Kota Laksamana and Bandar Hilir

Binance pours US$6.3b to plug 90% of massive cyber heist as regulators circle

Crypto titan Binance has deployed over US$6.3 billion of its own reserves to absorb a colossal cyberattack, pledging full restitution as global securities watchdogs ramp up scrutiny

◉ Related