HEADLINES

Grab Malaysia Mengubah Pusat Pemandu Menjadi ‘Kampus Rakan Grab’

Pusat sehenti diberi peranan baharu sebagai hab ekonomi bagi memperkasa rakan Grab melalui pembelajaran sepanjang hayat dan sokongan komuniti

10:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Grab Malaysia hari ini memperkenalkan hab baharunya, Kampus Rakan Grab (KRG), yang menandakan peralihan daripada tumpuan khusus dalam menyediakan peluang pendapatan semata-mata kepada komitmen jangka panjang dalam menyokong pertumbuhan holistik rakan Grab.

Pusat Pemandu Grab terpilih, bermula di Petaling Jaya, telah dinaik taraf dan ditukar fungsinya menjadi hab pemerkasaan ekonomi khusus, sebuah ruang bersama yang membolehkan rakan-pemandu, rakan-penghantar dan rakan-peniaga melengkapkan diri dengan kemahiran serta keyakinan digital untuk terus maju dalam ekonomi yang sentiasa berubah.

“Rakan-rakan Grab sentiasa menjadi tulang belakang perjalanan kami. Seiring dengan transformasi ekonomi, peranan kami juga perlu berubah daripada sekadar menjadi sebuah platform menjana pendapatan kepada rakan yang komited dalam menyokong pertumbuhan jangka panjang mereka,” kata Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo.

“Kampus Rakan Grab merupakan cara kami mendengar dan bertindak berdasarkan aspirasi rakan-rakan kami. Kami berbesar hati memainkan peranan dalam pertumbuhan mereka, dan kami memandang hab ini sebagai ruang untuk menambah kemahiran, mengukuhkan jaringan, serta membina ketahanan yang diperlukan untuk berjaya, baik di dalam mahupun di luar ekosistem Grab.”

Pelancaran ini telah dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia.

“Pelancaran Kampus Rakan Grab mengukuhkan komitmen yang bermakna terhadap ekonomi gig Malaysia.

Dengan melangkaui tumpuan pada pendapatan segera dan berkembang kepada penekanan pada perlindungan sosial jangka panjang serta peningkatan kemahiran, Grab bergerak seiring dengan matlamat Kementerian untuk memastikan tenaga kerja negara bersedia menghadapi masa hadapan.”

“Saya juga berbesar hati melihat Grab Malaysia meneruskan komitmen yang bermula sejak tahun 2020, yang mana ia akan menanggung sebahagian daripada caruman PERKESO bagi rakan pemandu dan rakan penghantar yang aktif, di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Lindung Kendiri), bagi memastikan keselamatan para rakan Grab dengan kadar segera.”

“Selain itu, Grab Malaysia akan bekerjasama dengan Kementerian bagi memastikan program peningkatan kemahiran dapat diakses melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), sekali gus memperkasa para rakan dengan kemahiran yang diperlukan untuk kejayaan jangka panjang.”

Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, dan Rakan Penghantar Grab Mohd Afie Ikmal Bin Jamal semasa pelancaran Kampus Rakan Grab di Petaling Jaya hari ini. – Gambar Grab, 26 Januari, 2026

Peranan baharu KRG sebagai hab pemerkasaan ekonomi mengukuhkan komitmen Grab yang telah terjalin lebih sedekad terhadap kesejahteraan rakan, dan ianya dibina berdasarkan tiga fokus utama.

KRG terus berfungsi sebagai lokasi fizikal GrabAcademy, yang sehingga kini telah memberi manfaat kepada lebih daripada 40,000 rakan Grab yang telah menerima manfaat daripada program peningkatan kemahiran.

Program-program dibentuk berdasarkan keperluan praktikal, termasuk kemahiran digital dan kewangan untuk membantu rakan kekal relevan. Program ini juga memberi pendedahan kepada alat dan teknologi baharu, termasuk AI. Grab turut membangunkan laluan kemahiran bersama rakan usahasama seperti CARSOME Academy, GIATMARA, dan Saito University College, yang menawarkan sijil yang berguna di luar platform Grab.

KRG turut direka untuk menjadi sebuah komuniti yang inklusif dan menyokong, dengan kemudahan yang mesra OKU dan ruang yang mesra keluarga.

Hab ini menyediakan pondok bantuan khusus untuk memastikan rakan kongsi pekak boleh berkomunikasi dengan kakitangan dengan mudah.

Memahami keperluan ibu bapa yang bekerja, KRG turut menyediakan ruang permainan untuk kanak-kanak, membolehkan ibu bapa menguruskan tugas mereka tanpa menjejaskan penjagaan keluarga.

Hab ini juga akan menganjurkan acara berjejaring dan sambutan perayaan bagi mengukuhkan semangat komuniti di kalangan rakan Grab.

Untuk mempermudah laluan ke arah pertumbuhan ekonomi, KRG menyediakan sokongan sehenti bagi menyelesaikan isu kompleks dan menguruskan proses pendaftaran.

Rakan pemandu, penghantar dan peniaga boleh mengakses perkhidmatan ini dengan mudah, sementara juga mempunyai akses langsung ke ekosistem Grab yang lebih luas, termasuk perbankan digital melalui GXBank, penyelesaian kewangan melalui GFin, dan barangan keperluan harian daripada Jaya Grocer.

Selain itu, penyedia perkhidmatan pihak ketiga seperti syarikat insurans akan ditempatkan di lokasi bagi memberikan sesi konsultasi secara bersemuka, memudahkan perancangan kewangan.

Inisiatif Kampus Rakan Grab ini merupakan evolusi daripada program GrabBenefits, yang menyaksikan peningkatan pelaburan sebanyak RM10 juta pada tahun 2025. Ia turut melengkapi pelaburan RM5 juta yang dibuat sempena pelancaran dana Sejahtera MADANI oleh kerajaan pada tahun lalu.

Melalui pelaburan ini, Grab terus memberi tumpuan kepada pemberdayaan ekonomi, mewujudkan peluang pendapatan baharu, dan meningkatkan potensi kerjaya rakan kongsi mereka. Komitmen ini selaras dengan usaha nasional untuk memacu pertumbuhan inklusif, meningkatkan taraf sosio-ekonomi, dan membasmi kemiskinan. – 26 Januari, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related