HEADLINES

Mitra di bawah Kesuma perkukuh agenda pembangunan masyarakat India, bukan beban tambahan

Menteri Sumber Manusia menepis kebimbangan, menegaskan penempatan Mitra bukan beban tambahan tetapi strategi memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan keberkesanan program pembangunan masyarakat India

1:17 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata menempatkan Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) tidak mengubah mandat asalnya sebagai agensi khusus yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India.

Beliau berkata sebaliknya, langkah itu memperkukuh komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan agenda kesejahteraan, mobiliti sosial dan pembangunan modal insan masyarakat India dilaksanakan secara lebih bersepadu dan berimpak tinggi.

“Dalam hubungan ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berpandangan penempatan Mitra di bawah Kesuma tidak akan menjejaskan prinsip itu, malah mengukuhkan kedudukan Mitra dengan menyepadukan agenda pembangunan masyarakat India ke dalam kerangka pembangunan sumber manusia negara secara menyeluruh,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Ramanan berkata demikian ketika menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) berkaitan jaminan kerajaan bahawa penempatan Mitra di bawah Kesuma tidak akan menjejaskan kepentingan serta kebajikan kaum India berikutan bebanan tugas sedia ada kementerian itu.

Penempatan itu jelasnya bagi memastikan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan program Mitra dapat dilaksanakan secara lebih teratur, sistematik dan berkesan, selaras dengan dasar pembangunan tenaga kerja, kebolehpasaran, peningkatan kemahiran dan perlindungan sosial di bawah Kesuma.

Beliau berkata, pada masa sama ia turut memperkukuh tadbir urus, ketelusan serta akauntabiliti pengurusan peruntukan dan program Mitra.

Ramanan yang turut menjawab soalan tambahan Kalam berhubung dakwaan kegagalan menyeluruh permohonan bantuan Mitra pada 2025 di kawasan Sabak Bernam serta isu bantuan kepada pelajar universiti, menjelaskan semua penerima manfaat program Mitra dipaparkan di laman sesawang rasmi agensi itu.

Jelasnya, bagi program graduan universiti tahun pertama, bantuan kewangan kira-kira RM4,000 telah disalurkan secara berfasa kepada penerima yang layak manakala bagi program pemberian komputer riba, sejumlah 3,000 unit komputer riba baharu telah dibekalkan kepada pelajar Institusi pengajian tinggi awam dan swasta, yang dibeli oleh Yayasan Didik Negara.

Permohonan bantuan itu dilaksanakan berdasarkan prinsip first come first serve dan terdapat permohonan melebihi kapasiti bekalan yang disediakan.

“Banyak program yang dilaksanakan sudah pun capai status yang cemerlang,” katanya sambil menjelaskan sejumlah RM48.874 juta telah disalurkan kepada penerima manfaat setakat ini manakala baki peruntukan masih dalam proses penyaluran.

Menyentuh hal berkait penglibatan pusat khidmat dan pemimpin komuniti setempat, Ramanan ketika menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) berkata, peruntukan sejumlah RM100,000 pada 2023 disalurkan bukan mengikut Parlimen tetapi berdasarkan daerah yang mempunyai kepadatan penduduk India tertinggi.

Tambahnya, pada 2024, Mitra melaksanakan pelbagai program lain termasuk pemerkasaan rumah ibadat, bantuan penyelenggaraan sekolah, pembaikan kecil, bantuan kepada pekerja perladangan, program peranti mahasiswa, tadika serta kemudahan awam dan keselamatan kampung India.

Ramanan berkata berikutan itu, tahun ini kementeriannya memberi jaminan program peruntukan tambahan secara bersasar akan dilaksanakan semula dengan penglibatan Ahli Parlimen dan pemimpin tempatan. – 5 Februari, 2026

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Govt has settled RM42bil of 1MDB debt, total obligations exceed RM50bil: Anwar

Anwar reveals over RM9 billion in remaining debt, with government funds covering the shortfall

3 senior Telekom Malaysia officers charged in US over US$20m embezzlement scheme

US prosecutors expose a sophisticated, multi-year insider scam at TM’s US subsidiary involving data capacity manipulation, phantom employees, and the use of AI-assisted tools to siphon millions

Related