HEADLINES

SPRM bekerjasama dengan SFO UK siasat transaksi RM2.5 bilion libat IJM: Azam

Azam berkata SPRM sedang bertukar maklumat dengan Pejabat Penipuan Serius UK

7:55 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang bekerjasama rapat dengan Pejabat Penipuan Serius UK (SFO) Britain berhubung siasatan terhadap IJM Corporation Bhd, melibatkan transaksi kewangan serta aset di luar negara bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SFO turut menjalankan siasatan berkaitan perkara tersebut.

Kedua-dua pihak, katanya, juga saling bertukar maklumat bagi melengkapkan siasatan.

“Kami kini sedang menyelaras dengan mereka.

“Terdapat beberapa prosedur yang perlu dipatuhi dari segi pengumpulan bukti, namun saya tidak fikir ia akan menjadi masalah,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Azam berkata, walaupun kedua-dua agensi mempunyai skop siasatan masing-masing, mereka akan bekerjasama secara rapat.

“Kami juga sedang dalam proses pertukaran maklumat dengan mereka (SFO).

“Sekarang kami sedang dalam proses pertukaran maklumat, bukannya bukti lagi. Pegawai-pegawai saya kini sedang berkomunikasi dengan SFO” tambahnya.

Menurut Azam, siasatan berkenaan dijangka mengambil sedikit masa kerana melibatkan aspek di luar negara.

“Dana yang dilaburkan, kira-kira RM2.5 bilion di UK, mungkin mempunyai isu di negara itu, termasuk kemungkinan melanggar undang-undang pencegahan pengubahan wang haram mereka. Jadi di sini, kita bukan sahaja menyiasat, malah memudahkan pihak berkuasa UK. Jadi ia mengambil sedikit masa,” katanya.

Pada 6 Februari lalu, Pengerusi IJM Corporation Bhd ditahan bagi membantu siasatan berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan dan transaksi kewangan, termasuk pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

SPRM memaklumkan suspek lelaki berusia lingkungan 70-an itu ditahan kira-kira pukul 7 malam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas pemeriksaan dan penggeledahan dilakukan di kediamannya.

Menurut SPRM, Bahagian Operasi Khas (BOK) memulakan siasatan terhadap suspek pada 19 Januari lalu berhubung dakwaan berkaitan tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara bernilai kira-kira RM2.5 bilion, yang berpotensi melibatkan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.

Sehubungan itu, SPRM membekukan 70 akaun bank persendirian dan akaun syarikat yang dikaitkan dengan suspek, melibatkan jumlah kira-kira RM30.6 juta. – 11 Februari, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related