HEADLINES

Isu warganegara gagal tutur bahasa Melayu harus jadi ‘amaran’, dibawa ke Parlimen

Pemuda Umno mahu satu undang-undang digubal agar semua warganegara Malaysia wajib boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan: Shah Zanuriman Nuar Paras Khan

6:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mesti mendesak supaya isu kegagalan warganegara Malaysia bertutur dalam bahasa kebangsaan dibawa ke persidangan Parlimen, bagi menggubal undang-undang sedia ada berkaitan perkara itu.

Exco Pemuda Umno, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, gesaan itu bagi membolehkan satu undang-undang ditetapkan supaya setiap warganegara Malaysia wajib boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan.

“Saya juga bersama-sama dengan pandangan (Ketua Pemuda Umno) Dr (Muhamad) Akmal Saleh untuk mendesak agar perkara ini dibawa ke persidangan Parlimen, tak kira dalam kalangan ahli parlimen kerajaan ataupun pembangkang.

“Agar satu undang-undang dapat dibuat untuk semua warganegara Malaysia wajib boleh bertutur dengan bahasa kebangsaan,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes seorang warga emas didakwa gagal bertutur dalam bahasa kebangsaan, sehingga pegawai imigresen tidak memperbaharui pasportnya.

Menurutnya, kes itu seharusnya menjadi ‘wake up call’ (amaran) betapa lemah penguasaan bahasa ibunda dalam kalangan warganegara Malaysia.

Beliau berkata, tiada sebarang alasan boleh menjustifikasikan kegagalan menguasai bahasa kebangsaan.

Katanya, alasan itu juga tidak boleh diberikan sedangkan warga asing yang datang ke negara ini untuk berkerja dan belajar, boleh menguasai bahasa kebangsaan dalam masa beberapa tahun sahaja.

Malah, katanya, Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai bahasa kebangsaan dan ia termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

“Seharusnya sebagai sebuah negara sudah mencapai usia 66 tahun, tahap penggunaan dan kefasihan bahasa kebangsaan dalam kalangan warganegara adalah sekurang-kurangnya di tahap fasih bertutur serta menulis,” katanya menerusi kenyataan.

Shah Zanuriman berkata, secara logiknya kewarganegaraan seseorang itu wajar diragui jika gagal untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan.

“Maka sepatutnya seorang pegawai imigresen meragui kewarganegaraan seorang individu yang gagal untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan.

“Dalam isu berkenaan, saya menyokong penuh pandangan Dr Akmal Saleh yang memuji tindakan pegawai terbabit untuk tidak memperbaharui pasport warga emas berkenaan kerana tidak boleh bertutur bahasa kebangsaan,” katanya.

Dr Muhamad Akmal Saleh sebelum ini menggesa kerajaan dan pembangkang membawa usul ke persidangan Parlimen untuk mengubal undang-undang agar antara syarat wajib untuk diiktiraf sebagai warganegara Malaysia ialah bertutur dalam bahasa Melayu. – Gambar Facebook Shah Zanuriman, 26 April, 2024

Terdahulu, Dr Akmal menerusi hantarannya di Facebook memuji tindakan berani ditunjukkan pegawai imigresen kerana menghalang seorang individu yang tidak mampu berbahasa Melayu daripada melakukan urusan permohonan pasport.

Ujarnya, tindakan itu menyedarkan realiti berlaku di Malaysia, walaupun tiada peruntukan undang-undang mewajibkan mana-mana warganegara perlu bertutur dalam bahasa Melayu sebagai syarat membuat pasport.

Malah, tindakan dari pegawai imigresen itu, katanya, perlu dipuji tambahan dengan kebanjiran warga asing ke Malaysia.

“Dengan warga asing ke negara ini semakin bertambah, mereka (pegawai imigresen) perlu memastikan kesahihan hanya warganegara Malaysia sahaja yang benar-benar layak untuk membuat pasport,” katanya.

Dr Akmal berkata, rentetan dari isu berkenaan, Pemuda Umno menggesa pihak kerajaan mahupun pembangkang, membawa satu usul ke persidangan Parlimen untuk mengubal undang-undang agar antara syarat wajib untuk diiktiraf sebagai warganegara Malaysia, mestilah wajib bertutur bahasa Melayu.

“Jika warga bangladesh yang datang ke Malaysia boleh bertutur di dalam bahasa Melayu, apa ertinya kita yang mengaku warganegara tetapi masih tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu.

“Pemuda Umno akan menggunakan pelbagai saluran untuk memastikan usul ini dapat dibawa, seterusnya dijadikan satu undang-undang di dalam negara kita,” katanya. – 26 April, 2024– 26 April, 2024

Topics

 

Hangat

‘Robbed again’: Johor Orang Asli accuse trustees of misusing RM6mil from land compensation fund

Linggiu Valley community files MACC report, claiming decades-old RM38.5mil trust meant for their families has been abused repeatedly

Malaysia breaks 11-year losing streak against Vietnam with impressive 4-0 victory

The national team showed effective teamwork and fast-paced plays that kept their opponents under pressure

Axelsen confirms split from wife, just over a week after World Championships withdrawal

The Dane revealed the news on social media on Tuesday evening, saying the decision to part ways was made on amicable terms

Related