HEADLINES

Taikun minyak Indonesia dalam buruan masih di Malaysia?

Pasport Riza Chalid sudah dibatalkan, namun rekod imigresen tunjukkan beliau masuk 13 kali hingga Mac 2025 tanpa keluar

9:37 AM MYT

 

KUALA LUMPR – ‘Saudagar minyak’ Indonesia Mohammad Riza Chalid, yang sedang diburu berhubung siasatan rasuah, dilaporkan berbelas kali keluar masuk Malaysia hingga Mac tahun lalu.

Memetik laporan sumber kepada Malaysiakini, tiada rekod menunjukkan Riza meninggalkan negara ini sejak masuk kali terakhir.

Pendedahan itu dibuat selepas maklumat pasport dipercayai milik Riza, yang dikeluarkan oleh Pejabat Imigresen Jakarta Selatan pada 27 Mei 2022 diperoleh portal berkenaan.

Difahamkan dokumen tersebut yang pada asalnya dijadual tamat tempoh pada 27 Mei tahun depan, telah dibatalkan oleh pihak berkuasa Indonesia pada 11 Julai tahun lalu — hari sama pendakwa raya negara itu menamakan dia sebagai suspek dalam kes rasuah melibatkan syarikat minyak dan gas Pertamina, milik republik tersebut.

Berdasarkan nombor pasport itu, sumber berkenaan mendedahkan bahawa Riza telah masuk dan keluar Malaysia sekurang-kurangnya 13 kali sejak Ogos 2024.

Kali terakhir Riza memasuki Malaysia menggunakan pasport itu pada 18 Mac, tanpa sebarang rekod keluar dari negara ini, walaupun peraturan menetapkan rakyat Indonesia yang masuk ke Malaysia dengan visa pelancong hanya dibenarkan tinggal sehingga 30 hari.

Masih tidak dapat dipastikan sama ada Riza memiliki sebarang permit lain untuk kekal di Malaysia, seperti pas ekspatriat atau status pemastautin tetap, yang juga akan terbatal apabila pasportnya dibatalkan.

Difahamkan Riza, pemilik benefisial PT Tangki Merak dan PT Orbit Terminal Merak telah dituduh mengaut keuntungan daripada perjanjian sewaan penyimpanan bahan api yang dinaikkan secara melampau.

Berikutan itu, seramai 17 individu, termasuk bekas dan eksekutif Pertamina, telah ditahan berkaitan kes itu. Ia dilaporkan membabitkan kerugian berjumlah 286 trilion rupiah (RM67.2 bilion).

Terdahulu, kumpulan antirasuah Indonesia, Masyarakat Anti-Korupsi Indonesia (Maki), mengesyaki bahawa Riza masih berada di Malaysia sementara menunggu pelaksanaan notis merah Interpol dan proses pengusiran.

Notis merah Interpol ialah “permintaan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia untuk mengesan dan menahan sementara seseorang individu sementara menunggu ekstradisi, penyerahan, atau tindakan undang-undang seumpamanya”, berdasarkan waran tangkap atau perintah mahkamah yang dikeluarkan oleh pihak kehakiman negara pemohon.

Koordinator Masyarakat Anti Korupsi Indonesia (MAKI), Boyamin Saiman ketika dihubungi media berkata pergerakan Riza itu menguatkan lagi dakwaan terhadap lokasi semasanya.

“Saya masih percaya dia berada di Malaysia kerana hubungannya di negara ini,” kata Boyamin, yang dalam surat terbuka kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto tahun lalu menggesa pemimpin itu mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa pulang Riza.

Boyamin mendakwa Riza berkahwin dengan kerabat diraja sama ada dari utara atau selatan Malaysia, antara faktor yang menyumbang kepada perpindahan bilionair itu ke sini.

Ketika itu, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan rasmi dengan Prabowo di Jakarta, dan apabila ditanya media Indonesia, dia menegaskan Malaysia tidak akan campur tangan dalam proses undang-undang yang sedang berjalan terhadap Riza dan walaupun dia mengenali taikun minyak itu, dia tidak mengetahui lokasi keberadaannya.

“Anwar tidak pernah menafikan mengenali Riza,” tambah Boyamin hari ini.

Ahli perniagaan Indonesia itu sebelum ini turut dikaitkan dengan bidaan mendapatkan hak perlombongan galian (REE) di Kedah dan ditemani Anwar.

Pada Disember lalu, Menteri Imigrasi dan Pemasyarakatan Indonesia, Agus Andrianto dilaporkan berkata kediaman terakhir Riza yang diketahui adalah di Malaysia.

Pada 2 Feb, agensi berita Indonesia Antara memetik Setiausaha Biro Nasional Interpol Indonesia, Untung Widyatmoko, sebagai berkata notis merah terhadap Riza telah dikeluarkan kepada 190 negara pada 23 Jan. – 13 Februari, 2026

Topics

 

Hangat

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Related