HEADLINES

Rakyat Malaysia ada hak untuk berhimpun terhadap Azam Baki termasuk Rafizi: Fahmi

Kerajaan menyerahkan kepada Jawatankuasa Khas untuk melaksanakan siasatan berhubung isu pemilikan saham Azam Baki

1:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mempunyai hak untuk berhimpun seperti tertakluk di bawah Perlembagaan, kata Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, PKR bagaimanapun masih belum menerima sebarang aduan terhadap Rafizi susulan penglibatannya dalam Himpunan Tangkap Azam Baki di ibu negara semalam.

“Saya tak lihat benda itu… mungkin akan ada yang bawa (buat aduan) tapi saya tak merasakan… kita belum bincang lagi jadi saya rasa masih terlalu awal untuk saya sebut apa-apa.

“Dia ada hak untuk melaksanakan (menyertai demontrasi) apa yang dia rasa dia nak lakukan daripada segi (sertai demontrasi dibenarkan) di bawah Perlembagaan.

“Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur (Datuk Fadil Marsus) mengatakan dalam 150 hingga 200 orang hadir (himpunan) dan tidak berlaku apa-apa insiden yang mencemaskan atau pun mengganggu keselamatan, maka ia tidak menjadi isu.

“Setakat ini, Setiausaha Agung belum memaklumkan telah menerima sebarang aduan, tetapi mereka yang berkumpul ada hak, tidak menjadi masalah di sisi undang-undang,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Jelajah Ramadan RTM 2026 di Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Larkin di Johor Bahru, hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika ditanya sama ada PKR akan mengambil tindakan terhadap Rafizi kerana terlibat dalam Himpunan Tangkap Azam Baki pada Ahad.

Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak sepatutnya memegang jawatan berikutan kontroversi pemilikan saham yang didedahkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Fahmi turut menegaskan bahawa tiada agensi atau individu yang sempurna.

“Pada masa yang sama, kita tidak boleh menafikan bahawa agensi penguat kuasa telah mengambil tindakan yang sangat tegas terhadap individu yang terlibat dalam rasuah serta kumpulan kartel.

“Kita perlu memberi penghargaan kepada pihak yang sewajarnya.

“Memang tidak ada mana-mana badan badan (penguat kuasa) yang sempurna, saya tidak sempurna, PM tidak sempurna, Rafizi Ramli tidak sempurna. Ramadan adalah bulan di mana kita diajar munasabah kelebihan dan kelemahan diri masing-masing.

“Jadi, saya harap saudara Rafizi juga dalam bulan Ramadan akan bermuhasabah dan Azam juga akan bermuhasabah sama seperti saya juga akan bermuhasabah tapi daripada segi parti,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan menyerahkan kepada Jawatankuasa Khas untuk melaksanakan siasatan berhubung isu pemilikan saham melibatkan Azam Baki.

Tambahnya, Jemaah Menteri telah memberikan maklum balas berhubung isu itu melalui keputusan penubuhan jawatankuasa khas berkenaan. 

“Bagi kami (Jemaah Menteri), kami serahkan kepada jawatankuasa untuk lakukan siasatan, lakukan siasatan penuh dan Tan Sri Azam juga sangat terbuka berkata beliau sedia untuk disiasat,” katanya.

Pada Sabtu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas Siasatan memberitahu, jawatankuasa itu telah memulakan siasatan berhubung isu pemilikan saham oleh Azam Baki.

Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri serta Pihak Berkuasa Tatatertib untuk pertimbangan lanjut berdasarkan tatacara yang sewajarnya. – 16 Februari, 2026

Topics

 

Hangat

Malaysia breaks 11-year losing streak against Vietnam with impressive 4-0 victory

The national team showed effective teamwork and fast-paced plays that kept their opponents under pressure

FAM at 99: a journey from colonial roots to Malaysia’s football milestones

The Football Association of Malaysia (FAM) marks its 99th anniversary today, tracing a journey from its colonial-era beginnings in 1926 to becoming the custodian of Malaysian football

Malaysia nears eradication of hardcore poverty as average household income hits RM9,155

With the poverty rate now at just 0.09%, government initiatives show promising progress, while efforts to enhance social mobility and living standards continue

Related