KUALA LUMPUR – Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Md Jidin, kini menggalas tanggungjawab besar apabila dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta, menggantikan Tan Sri Rahim Thamby Chik yang meletakkan jawatan semalam susulan kemelut politik parti.
Pelantikan Radzi, yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, diumumkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dengan keyakinan bahawa pengalaman dan kepimpinan beliau mampu mengembalikan kekuatan parti di negeri itu.
“Tugas utama beliau untuk menyusun semula struktur kepimpinan Bahagian-Bahagian Bersatu di Melaka, dalam kalangan pemimpin tempatan termasuk anak muda dan golongan profesional dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Radzi sebelum ini turut diberi mandat menjalankan tugas Timbalan Presiden bersama Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, selepas pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada parti.
Pelantikan ini hadir dalam suasana getir, selepas lima bahagian Bersatu di Melaka – Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasin – dibubarkan serta-merta semalam kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti.
Pembubaran itu turut melibatkan Jawatankuasa Bahagian, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Srikandi, Srikandi Muda, Bersekutu Bahagian, seluruh cawangan serta sayap-sayap bahagian, sekali gus meninggalkan kekosongan besar yang perlu segera diisi.
Dengan mandat baharu ini, Radzi berdepan cabaran menyatukan kembali akar umbi, membina semula struktur organisasi, dan mengembalikan keyakinan ahli terhadap perjuangan Bersatu di Melaka. – 25 Februari, 2026
