HEADLINES

SPRM mula siasatan isu tatakelola, ketidakaturan kewangan UKM minggu depan

Isu ketirisan yuran pelajar berjumlah RM50.74 juta serta kelemahan tatakelola kewangan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini berada di bawah radar SPRM bagi meneliti wujudnya unsur jenayah rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan dana awam

3:34 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memulakan siasatan awal pada minggu hadapan berhubung isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan itu bagi meneliti sama ada wujud kelemahan dalam tadbir urus atau unsur jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa suruhanjaya berkenaan.

“Suruhanjaya ingin menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara profesional, bebas dan berlandaskan undang-undang tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak.

“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti berlakunya kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atau undang-undang lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap dana awam diurus secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat serta mengekalkan kepercayaan terhadap institusi pendidikan tinggi negara.

Pada 23 Feb lepas, LKAN 1/2026 mendedahkan UKM berdepan ketakteraturan serius dan pelanggaran tatakelola dalam kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di universiti itu yang tidak mematuhi undang-undang serta peraturan kewangan. 

Menurut laporan itu, kutipan hasil dibuat oleh pihak tidak diberi kuasa iaitu Koperasi B-5-1788 bagi yuran pelajar berjumlah RM50.74 juta, merangkumi Sarjana Pendidikan (SPEND) RM3.53 juta dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) RM47.21 juta.

Selain itu, hasil yuran pelajar sebanyak RM32.36 juta yang diagihkan kepada Koperasi B-5-1788 termasuk RM0.87 juta diterima oleh UKM melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan eKewangan tidak direkodkan sebagai hasil yuran pelajar UKM.

Laporan itu menyatakan agihan yuran yang dikutip daripada pelajar SPEND dan DPLI oleh Koperasi B-5-1788 berjumlah RM21.02 juta, lewat diserahkan kepada pihak UKM antara 31 hari hingga 291 hari. – 27 Februari, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related