KUALA LUMPUR – Kegagalan lapan Ahli Parlimen kerajaan hadir ketika pengundian bahagian kelmarin menjadi faktor utama Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026, yang bertujuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun tidak diluluskan di Dewan Rakyat.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, mengesahkan tiga daripada mereka berasal dari Barisan Nasional, manakala masing-masing seorang daripada GPS, GRS, PBM serta dua wakil Bebas.
Antara nama besar yang tidak hadir termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Henry Sum Agong (Lawas), Datuk Suhaimi Nasir (Libaran), Riduan Rubin (Tenom), Datuk Larry Soon (Julau), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Keningau).
Fahmi menjelaskan setiap Ahli Parlimen terbabit memberikan alasan berbeza, antaranya berada di hospital, menghadiri upacara keagamaan dan ‘tersangkut’ dalam kesesakan lalu lintas.
“Dari blok PH, 100 peratus hadir. Semua hadir dan semua mengundi. Setiap dari mereka bila ditanya kenapa tidak berada di situ (Dewan Rakyat) ada yang memberikan pelbagai alasan,” katanya pada sidang media selepas perasmian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2 MCMC, Cyberjaya semalam.
Beliau turut menyebut Ahli Parlimen Libaran dimasukkan ke hospital, manakala Saravanan memaklumkan bahawa beliau menghadiri upacara sembahyang.
Riak wajah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menurut Fahmi, jelas menunjukkan rasa kecewa terhadap ketidakhadiran lapan wakil rakyat berkenaan.
“Saya lihat raut wajah beliau… Timbalan Perdana Menteri itu kelihatan sedikit kecewa bahawa lapan Ahli Parlimen tidak ada (dalam Dewan Rakyat),” katanya.
Dalam pengundian itu, hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, 44 berkecuali dan 32 tidak hadir. Keputusan diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas RUU tersebut dibahaskan oleh 41 wakil kerajaan dan pembangkang. – 4 Mac, 2026
