KUALA LUMPUR – Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, digantung keahlian parti selama dua penggal selepas didapati melanggar perlembagaan dan kod tatakelakuan.
Notis penggantungan itu dikongsi sendiri oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah berkenaan melalui hantaran di Instagram hari ini.
“Akhirnya saya digantung. Setakat itu sahaja lembaga disiplin mampu bagi.
Bagi saya, syukur Alhamdulillah. #Reset all the way,” tulisnya.
Menurut notis berkenaan, Mas Ermieyati dikenakan tindakan atas pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Terdahulu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, turut digantung keahlian selama dua penggal berkuat kuasa hari ini. Kedua-duanya adalah antara individu yang menghadiri perhimpunan menyokong Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 14 Februari lalu, sehari selepas bekas Timbalan Presiden parti itu dipecat.
Hamzah sebelum ini melancarkan gerakan “Reset”, yang digambarkan sebagai usaha pembetulan, penambahbaikan dan pengukuhan kekuatan negara secara kolektif.
Dalam surat penggantungan itu, Mas Ermieyati dan Kiandee turut dilucutkan semua jawatan serta dilarang membuat kenyataan bagi pihak parti sehingga tempoh penggantungan tamat. Bagaimanapun, mereka dibenarkan mengemukakan rayuan kepada lembaga rayuan dalam tempoh 14 hari.
Sebelum ini, kedua-duanya menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin parti berhubung beberapa dakwaan. – 10 Mac, 2026
