KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tampil dengan pendekatan kreatif sempena Aidilfitri apabila menerbitkan muzik video khas berjudul “19.5 Puasa di Kampom Pisam – Selamat Tenet Raya” bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap ancaman penipuan dalam talian.
Video arahan Amen Khalid itu mengetengahkan kisah Pak Jabit, lakonan pengarah dan pelakon veteran Aziz M. Osman, seorang peniaga kecil yang sibuk membuat persiapan raya di warungnya sambil menanti kepulangan anak. Namun kegembiraan bertukar tragedi apabila beliau menjadi mangsa penipuan selepas menerima mesej mencurigakan, menyebabkan seluruh simpanannya lesap sekelip mata.
Kisah itu bukan sahaja menjejaskan persiapan Aidilfitri, malah memberi kesan emosi mendalam apabila wang hasil titik peluh hilang begitu sahaja.
Pak Jabit kemudian dibantu keluarga dan penduduk Kampom Pisam yang tampil menghulurkan sokongan, menonjolkan nilai kebersamaan masyarakat.
MCMC menegaskan mesej utama video ini ialah peringatan agar rakyat sentiasa berwaspada terhadap mesej atau pautan tidak dikenali, terutama ketika musim perayaan apabila aktiviti dalam talian meningkat.
Orang ramai disaran tidak berkongsi maklumat peribadi atau kewangan secara mudah serta sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum bertindak.
“Inisiatif ini sebahagian daripada usaha berterusan MCMC memperkukuh kesedaran keselamatan digital. Kecuaian walaupun sekecil satu klik boleh membawa kepada kerugian besar,” menurut kenyataan itu.
Selain Aziz, muzik video ini turut menampilkan pelakon popular tanah air seperti Bell Ngasri, Kazar Saisi dan Joey Daud. Ia boleh ditonton melalui saluran YouTube rasmi di pautan: https://www.youtube.com/watch?v=qnwSELqGA8I. – 19 Mac, 2026
