KUALA LUMPUR – Usaha untuk melindungi kanak-kanak di ruang digital perlu melangkaui undang-undang dengan penekanan yang sama diberikan terhadap literasi digital, penglibatan ibu bapa dan pendidikan.
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan (Page) , Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata walaupun Akta Keselamatan Dalam Talian Malaysia (ONSA) adalah langkah penting bagi mengukuhkan perlindunga ke atas kanak-kanak, namun ia tidak boleh berfungsi sendirian.
“Dari perspektif ibu bapa dan pendidikan, Akta Keselamatan Dalam Talian pada asasnya adalah untuk melindungi kanak-kanak dalam persekitaran yang telah melepasi langkah-langkah keselamatan,” katanya.
Beliau menambah langkah seperti mengehadkan akses ke platform media sosial bagi mereka yang berusia di bawah 16 tahun, walaupun selaras dengan matlamat akta tersebut, ia mesti disokong dengan inisiatif yang lebih luas.
“Mengehadkan kanak-kanak bawah 16 tahun daripada platform seperti TikTok dan Instagram selaras dengan matlamat itu namun ia tidak boleh berdiri sendiri,” kata Noor Azimah.
“Kanak-kanak amat terdedah dalam talian kerana tahap perkembangan dan keperluan emosi mereka dan kerana mereka mencari hubungan, pengesahan serta dan tidak dapat mengesan manipulasi,” jelasnya.

Beliau mengingatkan bahawa pemangsa dalam talian semakin canggih, sering menggunakan kaedah terancang untuk mendapatkan kepercayaan dan mengasingkan pengguna muda.
“Pemangsa mengeksploitasi dengan membina kepercayaan dan kerahsiaan, dan ramai ibu bapa masih memandang rendah betapa canggihnya taktik ini,” ujarnya.
Noor Azimah menekankan bahawa undang-undang mesti dipadankan dengan pendidikan dan kesedaran untuk memastikan ia benar-benar berkesan.
“Pada akhirnya, undang-undang mesti dipadankan dengan literasi digital, penglibatan ibu bapa dan pendidikan berasaskan sekolah – kerana matlamatnya bukan sekadar menyekat akses malah untuk melahirkan kanak-kanak yang berdaya tahan secara digital,” katanya.
Kenyataannya sejajar dengan konsensus yang semakin berkembang bahawa melindungi kanak-kanak dalam talian memerlukan strategi holistik yang membekalkan mereka dengan kemahiran berfikir kritis dan pengetahuan untuk menavigasi persekitaran digital dengan selamat.
Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 secara rasmi berkuat kuasa pada 1 Januari 2026. Pakar menekankan kepentingannya dalam menangani amalan pengantunan dan eksploitasi dalam talian, terutama bagi pengguna yang mudah terdedah.
ONSA digubal bagi melindungi pengguna daripada kandungan berbahaya dan penyalahgunaan platform digital, khususnya melibatkan keselamatan kanak-kanak dan remaja.
Akta ini menetapkan tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam talian untuk mengurus kandungan serta menyediakan mekanisme pelaporan yang berkesan.
Undang-undang ini mendapat sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, akta ini memperkenalkan rangka kerja undang-undang untuk meningkatkan keselamatan pengguna sambil meningkatkan tanggungjawab platform digital bagi mengurangkan risiko siber.
Selaras dengan Akta tersebut, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan perundingan awam pada 12 Februari 2026, menjemput pihak berkepentingan dan orang ramai memberikan input mengenai rangka kerja peraturan yang dicadangkan, termasuk langkah-langkah untuk memperkukuh keselamatan dalam talian. – 28 Mac, 2026
