HEADLINES

Keadaan Negara: Perang di Asia Barat mungkin lebih mudah untuk Petronas berbanding Sarawak – Zainul Arifin

7:18 PM MYT

 

PETRONAS mungkin sedang menghadapi cabaran terbesar sejak penubuhannya pada tahun 1974. Syarikat minyak negara itu kini berada dalam keadaan “pincer movement”, ditekan dari dua arah – cabaran luaran dan dalaman – yang berkemungkinan besar akan mengubah perjalanan syarikat ini, jika belum pun berlaku.

Salah satunya ialah gangguan pasaran minyak dan gas global berikutan serangan Amerika Syarikat/Israel terhadap Iran, manakala satu lagi ialah ancaman eksistensi daripada Sarawak.

Jika 50 tahun lalu ia hanyalah projek nasional yang baru bertapak, kini Petronas merupakan pemain antarabangsa yang mapan, signifikan dan berjaya. Dengan pelaburan serta operasi di seluruh dunia, ia tidak dapat lari daripada kesan peristiwa geopolitik.

Namun, badai geopolitik di Asia Barat mungkin lebih mudah ditangani kerana ia melibatkan pembelian dan penghantaran minyak mentah serta produk ditapis ke dalam negara. Buat masa ini, sekatan di Selat Hormuz akibat eskalasi konflik AS/Israel dan Iran menjejaskan aktiviti tersebut.

Konflik dan sekatan itu telah melonjakkan harga minyak mentah Brent melebihi AS$110 setong. Jika konflik berlarutan, Petronas perlu menanggung kos operasi tinggi, premium insurans meningkat serta risiko logistik. Ia mungkin mengambil masa untuk diselesaikan, tetapi pada asasnya ia keputusan perniagaan – dari mana minyak mentah akan dibeli dan bagaimana ia akan dibawa pulang.

Difahamkan Petronas mempunyai pelan kontingensi termasuk mengalihkan minyak mentah tempatan untuk kegunaan domestik bagi menjamin keselamatan bekalan, serta mencari sumber import alternatif dari Afrika Barat, Amerika Latin dan Australia bagi mengelak kawasan bergolak Timur Tengah.

Dalam masa sama, timbul perdebatan yang dipacu salah faham dan oportunisme politik – kononnya kerana Malaysia menghasilkan minyak dan gas sendiri, harga tempatan tidak sepatutnya terkesan oleh pasaran global atau kenaikan harga hanya untuk keuntungan Petronas dan kerajaan Madani.

Hakikatnya, walaupun Malaysia pengeksport bersih, negara juga membeli produk ditapis dan gred minyak tertentu dari pasaran global kerana ia lebih menguntungkan. Harga minyak tinggi ibarat pedang bermata dua – ia meningkatkan hasil Petronas tetapi turut menambah kos logistik dan subsidi bahan api.

Cabaran di Sarawak pula sudah berbulan-bulan berlarutan dan kini berada di mahkamah. Apa jua keputusan akan memberi kesan besar kepada operasi Petronas di negeri itu. Jika mahkamah memutuskan secara negatif, implikasinya bukan sahaja kepada struktur Petronas tetapi juga masa depan perniagaan syarikat tersebut.

Sarawak meminta mahkamah menentukan sama ada minyak dan gas di wilayahnya milik negeri, sekali gus mencabar kedudukan Akta Kemajuan Petroleum 1974. Persoalan lebih besar timbul – adakah undang-undang negeri mengatasi undang-undang persekutuan?

Ketidakpastian ini sudah menimbulkan kebimbangan pelabur dan pelanggan – adakah sebarang urusan dengan Petronas yang melibatkan Sarawak masih relevan?

Dalam naratif “kami lawan mereka”, ramai di Sarawak berpendapat negeri itu tidak mendapat layanan adil dalam Malaysia, dan menguasai sumber minyak serta gas adalah cara untuk memperbetulkan keadaan. Malah, ada suara politik ekstrem yang tidak menolak idea pemisahan.

Isu ini bukan sekadar tentang sumber tenaga, tetapi menyentuh konsep kenegaraan. Sarawak seolah-olah menegaskan ia berbeza daripada negeri lain, bergerak mengikut rentaknya sendiri.

Berbeza dengan syarikat minyak antarabangsa lain yang menikmati “durian runtuh” daripada kenaikan harga minyak, Petronas mempunyai agenda nasional. Tekanan terhadap dividen kepada kerajaan persekutuan dijangka meningkat kerana subsidi petrol dan diesel melonjak seiring harga minyak mentah.

Perang mungkin akan berakhir suatu hari nanti, tetapi tuntutan Sarawak terhadap pemilikan dan pengawalseliaan sumber minyak dan gas dijangka memberi kesan lebih panjang dan mendalam kepada sektor ini serta Petronas.

Model Petronas sebagai syarikat minyak dan gas nasional berpusat mungkin tidak lagi relevan. Beban kewangan yang ditanggung – sering dipanggil “beast of burden” untuk negara – boleh menjadi terlalu berat.

Peranan Petronas dalam memastikan bekalan minyak dan produk ditapis untuk rakyat Malaysia bergantung pada kekuatan dan pengaruhnya. Jika ia lemah, kemampuan untuk bertindak pantas seperti ketika krisis Asia Barat mungkin terjejas, sekali gus menjejaskan program subsidi bahan api.

Mungkin Sarawak akan makmur, namun tidak bagi Petronas dan negara. — 31 Mac 2026

Datuk Zainul Arifin ialah Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media, penerbit Scoop.my

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related