HEADLINES

[TONTON] ‘Persepsi itu wujud, tapi ia tidak benar’: Tengku Zafrul jawab naratif ‘payung kuning’

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menepis dakwaan beliau bertindak sebagai orang tengah istana bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menegaskan persepsi lama ‘payung kuning’ tidak mencerminkan realiti

4:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz tampil menjawab persepsi lama mengenai istilah “payung kuning”, sambil menegaskan walaupun mempunyai hubungan rapat dengan kerabat diraja, dakwaan beliau dihantar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurus hal istana ketika krisis politik atau institusi adalah tidak benar.

Bercakap dalam podcast Trick Lama terbitan Big Boom Media Group bersama pengasas Terence Fernandez serta dua tokoh media veteran, Datuk Zainul Arifin dan Datuk Ahirudin Attan (Rocky Bru), Tengku Zafrul mengakui naratif tersebut semakin berakar tetapi tidak mencerminkan realiti sebenar.

“Antara persepsi kedai kopi ialah saya ini diharap untuk ‘menjaga hati’ kerabat. Bila ada krisis, PMX hantar Zafrul — kononnya ‘payung kuning’,” katanya.

Menganggap isu itu sebagai “elephant in the room”, beliau tidak menafikan hubungan dengan kerabat di Selangor, Pahang dan Johor, namun menekankan ia lahir daripada faktor profesional, peribadi dan sejarah – bukan arahan politik.

“Ada yang rapat kerana tugas menteri, ada dari pengalaman korporat, ada juga kerana pertalian darah,” jelasnya.

Tengku Zafrul menolak keras dakwaan bahawa hubungan tersebut membawa kepada campur tangan politik atau peranan khas bagi pihak Perdana Menteri.

Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika menjadi tetamu podcast Trick Lama terbitan Big Boom Media Group bersama pengasas Terence Fernandez serta dua tokoh media veteran, Datuk Zainul Arifin dan Datuk Ahirudin Attan (Rocky Bru). – Gambar Scoop, 20 Januari, 2026

“Untuk kata PM hantar saya setiap kali ada masalah, itu tidak tepat. Mereka menyokong kerja saya, tetapi tidak mencampuri politik,” katanya.

Beliau menegaskan keputusan menyertai PKR dan aktif dalam politik dibuat atas kehendak sendiri, malah ada kerabat yang menasihatinya supaya tidak terlalu terlibat.

Menyentuh sama ada istana pernah menghubunginya untuk menyampaikan mesej kepada Perdana Menteri, Tengku Zafrul menjelaskan ia hanya berkaitan urusan rasmi melibatkan tadbir urus dan kepentingan negeri – seperti pengurusan bencana atau usaha menarik pelaburan.

“Kalau banjir, mereka hubungi menteri berkaitan. Untuk pelaburan, mereka mahu pelabur datang ke negeri mereka. Johor contohnya berjaya menarik banyak pelaburan,” katanya.

Beliau mengakui persepsi sering mengatasi hakikat dalam politik Malaysia.

“Kadang-kadang persepsi itu menguntungkan saya, kadang-kadang sebaliknya. Orang kata, ‘Sebab itu dia rapat’,” ujarnya.

Namun, bagi Tengku Zafrul, ukuran sebenar kredibiliti politik bukan sekadar persepsi, tetapi pencapaian.

“Akhirnya ia kembali kepada penyampaian. Seratus peratus sukar dicapai, tetapi kita cuba sebaik mungkin,” katanya.

Beliau turut menepis tanggapan kononnya kelihatan terlalu rapat dengan Anwar kerana sering bersama dalam lawatan luar negara, menjelaskan ia semata-mata tuntutan tugas sebagai menteri.

“Itu kerana peranan saya. Jangan keliru antara imej dengan pengaruh,” katanya.

Dalam landskap politik semasa yang penuh pemerhatian awam dan pemerintahan gabungan, beliau menegaskan pemimpin tidak boleh bergantung pada persepsi semata-mata.

“Persepsi mungkin membuka pintu, tetapi hanya penyampaian yang mampu mengekalkannya,” tegasnya. – 20 Januari, 2026

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related