HEADLINES

Madani Mart berpotensi cetus konflik kepentingan: Rafizi

Datuk Seri Rafizi Ramli memberi amaran pembukaan Madani Mart oleh Yayasan Madani boleh menimbulkan kebimbangan serius kerana ia melibatkan kerjasama langsung dengan KPDN yang mengendalikan program Jualan Rahmah

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi amaran pembukaan rangkaian kedai runcit Madani Mart oleh Yayasan Madani berpotensi menimbulkan kebimbangan serius, kerana ia dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) – kementerian yang turut mengendalikan program besar-besaran Jualan Rahmah.

Rafizi menegaskan, barisan pemegang amanah Yayasan Madani terdiri daripada Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh, selain setiausaha politik perdana menteri dan menteri kewangan – dipercayai Farhan Fauzi dan Kamil Munim berdasarkan maklumat laman web yayasan tersebut.

“Walaupun Fuziah kata dia (Madani Mart) tidak melibatkan wang kerajaan, tapi kalau semak lagi, dia kata ini kerjasama strategi dengan KPDN dan melibatkan Jualan Rahmah,” ujar Rafizi.

Beliau menjelaskan, Jualan Rahmah melibatkan peruntukan ratusan juta ringgit setahun, dengan pembekal berebut untuk menyertai kerana harga jualan kepada kerajaan lebih tinggi berbanding harga subsidi kepada rakyat.

“Jadi bila Madani Mart ini diusahakan oleh timbalan menteri KPDN yang bertanggungjawab dengan Jualan Rahmah, ada risiko besar kerana kerjasama strategik itu bermakna timbul risiko,” katanya pada majlis Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pandan di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancaran perdana di Kuantan

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan Madani Mart pertama di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang. Majlis itu turut disertakan dengan Jualan Rahmah sempena pembukaan cawangan perdana.

Fuziah sebelum ini menegaskan kerajaan tidak mengeluarkan sebarang modal bagi pembukaan Madani Mart, malah menyasarkan sehingga 640 cawangan di seluruh negara secara berperingkat.

Risiko “tidak adil”

Rafizi turut membangkitkan senario lain yang dibimbangi – pembekal Jualan Rahmah mungkin disyaratkan untuk turut membekalkan barangan kepada Madani Mart pada harga murah.

“Yang itu dah tak adil, itu dah ada unsur-unsur yang boleh dipersoalkan. Sama juga kalau Jualan Rahmah itu sepatutnya dijual di seberapa banyak tempat, lebih banyak lebih baik.
Kalau ia hanya di Madani Mart, ia tidak adil kepada penjual-penjual lain,” jelasnya.

Beliau menambah, subsidi kerajaan tidak wajar hanya disalurkan kepada kedai milik Yayasan Madani yang dikaitkan dengan pemimpin PKR.

Persaingan pasaran

Rafizi turut memberi peringatan bahawa operasi kedai runcit berharga rendah amat mencabar kerana perlu bersaing dengan rangkaian besar seperti Speed Mart.

“Speed Mart beli gudang, bukan karton. Maka dia boleh beli pada harga sangat rendah. Tidak adil jika Madani Mart mendapat kelebihan melalui pembekal Jualan Rahmah. Itu wujud unfair advantage,” tegasnya. – 5 April, 2026

Topics

 

Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Court orders MYAirline co-founder to repay over RM8mil to investors

Datuk Allan Goh and four associated companies are directed to return funds after failing to meet financial obligations to 15 investors

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Related