KUALA LUMPUR – Perintah henti kerja dikeluarkan serta merta dan kompaun dikenakan ke atas kontraktor yang terlibat susulan banjir lumpur di Jalan Abang Haji Openg, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), juga memutuskan semua kerja pembangunan cerun sekitar Taman Persekutuan Bukit Kiara dikaji semula.
Jelasnya, satu garis panduan pembangunan kerja tanah secara berfasa dan terkawal akan diperkenalkan di kawasan tersebut.
“Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud telah mengarahkan semua pihak terlibat untuk menghadiri mesyuarat tergempar bagi menilai semula pelan mitigasi dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh kontraktor bagi memasti kejadian tidak berulang.
“DBKL akan terus memperketatkan kawal selia kerja tanah di kawasan cerun.
“Kerja-kerja tersebut tidak lagi dibenarkan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa kawalan sebaliknya mesti dilaksanakan secara berfasa dan terkawal,’’ katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.
Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut turut turun ke lokasi kejadian bersama Fadlun malam tadi.
Pada Sabtu, tular rakaman video yang menunjukkan lumpur melimpahi Jalan Abang Haji Openg.
Ia susulan tembok penahan sedia ada berhampiran tapak projek Menyiapkan Baki Kerja Pembangunan Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur – Fasa 1B di Jalan Abang Haji Openg, TTDI, runtuh susulan hujan lebat.
Insiden itu melibatkan projek pejabat Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara, Jabatan Landskap Negara (JLN) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dilaksanakan oleh pihak JKR di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).

Menurut Hannah, DBKL akan terus memperketatkan kawal selia kerja tanah di kawasan cerun dan kerja-kerja tersebut tidak lagi dibenarkan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa kawalan sebaliknya mesti dilaksanakan secara berfasa dan terkawal.
“Saya juga telah menggesa JKR dan JLN untuk mengambil langkah mitigasi dengan segera bagi mengelakkan kejadian berulang.
“Keselamatan awam mesti menjadi keutamaan dan semua pihak yang bertanggungjawab perlu bertindak dengan segera serta penuh komitmen,’’ katanya.
Beliau turut memaklumkan, susulan banjir lumpur itu, langkah-langkah segera diambil malam tadi termasuk operasi pembersihan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama DBKL selain pasukan kontraktor, membuka struktur penghadang (hoarding) di kawasan yang terlibat dan membaiki perangkap kelodak (silt trap) bagi mengawal aliran air permukaan.
Selain itu, pusat kawalan oleh DBKL turut ditubuhkan bagi menyelaras operasi di lokasi dan Bomba berada dalam keadaan siap siaga di lokasi untuk membantu operasi kecemasan sekiranya diperlukan. – 19 April, 2026

